Rizab minyak dan gas Semenanjung Malaysia makin berkurangan kira-kira 50%, iaitu separuh daripada 700,000 tong sehari sejak lima hingga 10 tahun lalu, kini sekitar 350,000 tong sehari sahaja, ujar Menteri Ekonomi Rafizi Ramli seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian.
“Dalam tempoh 10 tahun (rizab minyak dan gas Semenanjung Malaysia) telah berkurangan separuh dan ia akan habis lebih cepat,” katanya semalam pada Sesi Penglibatan Kementerian Ekonomi Rancangan Malaysia Ke-13 dengan kerajaan negeri Kelantan.
Rafizi berkata rizab minyak dan gas Semenanjung Malaysia yang rendah menyukarkan kerajaan dari segi pengagihan dan penentuan peruntukan kepada setiap negeri.
“Walaupun Malaysia baik dari segi pertumbuhan ekonomi, gaya hidup berubah, dulu naik motosikal ke kereta, tetapi gaji tak naik, perniagaan tak besar akhirnya perbelanjaan lebih besar daripada pendapatan yang ada. Jadi kalau kita tak tukar cara kita, maka kita akan hidup di luar kemampuan.
“Sekarang di Semenanjung, kita dah mengimport 30% gas untuk menjana elektrik dalam industri dan jika tidak berhati-hati atau tidak ada langkah baik maka kita akan terus bergantung kepada negara asing,” katanya.
Beliau turut menambah, sumber yang masih ada di Sabah dan Sarawak pula digunakan bagi memenuhi tuntutan dan penggunaannya di kedua-dua negeri itu.
“Ada juga usaha untuk dipertimbangkan kembali cara penagihan pendapatan sumber Sabah dan Sarawak ini. Selain memenuhi tuntutan Sabah dan Sarawak, sumber ini sebahagian besar memang dieksport dan diikat dengan perjanjian jangka panjang oleh pembeli-pembeli,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.