Bagi menetapkan penyaluran subsidi bersasar petrol RON 95, petunjuk kos sara hidup rakyat, termasuk tanggungan dan pekerjaan individu, akan diambil kira.
Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh, petunjuk itu merangkumi statistik Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) dan Indeks Kos Sara Hidup (IKSH) yang dibangunkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), laporan Harian Metro.
“Berkenaan dengan RON95, sekiranya penyasaran subsidi berlaku kelak, tentunya dia akan ada impak kepada isi rumah yang menggunakan RON95. Jadi, dalam kajian yang dibangunkan DOSM yang mana KPDN turut serta diberi taklimat, memang (petunjuk kos sara hidup ini) diambil kira.
“Maknanya, kalau ada dua kereta, kalau ada dua orang bekerja, isteri dan suami bekerja, anak sekolah yang kecil, yang pergi sekolah, belajar universiti, semua termasuk dalam perkiraan petunjuk kos sara hidup ini,” katanya menjawab soalan tambahan Azahari Hasan (PN-Padang Rengas) di Dewan Rakyat hari ini.
Sebelum ini, DOSM telah melancarkan statistik baharu bagi petunjuk kos sara hidup yang merangkumi PAKW dan IKSH, sebagai panduan dalam perancangan dasar bersesuaian, malah rujukan kepada rakyat dalam merancang dan menguruskan kewangan serta perbelanjaan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.