Honda CRF300L, CRF300 Rally 2025 diperkenal – sistem penyejukan, suspensi ditambah baik, Euro5+

Honda CRF300L, CRF300 Rally 2025 diperkenal – sistem penyejukan, suspensi ditambah baik, Euro5+

Kali terakhir diberi peningkatan besar pada tahun 2020, Honda CRF300L kini diberi lagi penambah baikan bagi model keluaran tahun 2025. Ia bagaimanapun tidak begitu ketara dengan antaranya pada sistem pengurusan haba serta talaan suspensi.

Melihat pertamanya kepada versi biasa CRF300L, kedudukan fan diubah (bersama jeriji hadapannya) untuk memberikan penyejukan yang lebih baik, serta panel tepi direka semula untuk mengalihkan udara panas jauh daripada penunggang. Kemudiannya, lampu hadapan kini menggunakan unit LED, dengan bentuk yang lebih leper, berbanding membonjol sebelum ini. Di tepinya pula terdapat lampu penunjuk arah LED baru.

Suspensi masih lagi sama, iaitu fork dan monoshock Showa dengan jarak gerak 260 mm, tetapi tetapan spring dan daya serapannya telah dilaras semula untuk menjadikannya lebih stabil dan selesa. Warna baru yang ditawarkan untuk CRF300L 2025 adalah Extreme Red dan Swift Grey.

Pergi pula kepada versi Rally yang mempunyai penampilan inspirasi daripada jentera rali Dakar, ia juga menerima penambah baikan suspensi, lampu penunjuk arah serta sistem penyejukan yang sama, tetapi menampakkan perubahan bentuk panel tepi (berhampiran ekzos) yang lebih jelas.

Bahagian mekanikal lain CRF300L dan CRF300 Rally ini tidak berubah, termasuk enjin yang masih merupakan unit satu silinder, DOHC, penyejukan udara 286 cc yang mampu menghasilkan 27 hp pada 8,500 rpm dan tork 26.6 Nm pada 6,500 rpm. Walaubagaimanapun, enjin yang dipadankan dengan transmisi enam kelajuan ini sekarang sudah menerima penarafan emisi Euro5+.

Honda CRF300L, CRF300 Rally 2025 diperkenal – sistem penyejukan, suspensi ditambah baik, Euro5+

Sebagai sebuah motosikal dual purpose, CRF300 didatangkan dengan rim spoked saiz 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, manakala kedudukannya juga lebih tinggi berbanding motosikal biasa dengan jarak dari tanah 285 mm dan tinggi tempat duduk 880 mm.

Versi biasa CRF300L mendapat tangki bahan api 7.8 liter sementara Rally dinaik taraf dengan kapasiti lebih besar, iaitu 12.8 liter. Disebabkan itu juga Rally mencatat berat yang lebih, iaitu 153 kg, sementara CRF300L cuma 142 kg. Kelebihan lain CRF300 Rally adalah ia mempunyai penghadang angin hadapan serta pelindung enjin.

GALERI: Honda CRF300L 2025

GALERI: Honda CRF300 Rally 2025

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required