Jaguar melakukan rombakan semula terhadap imej jenama mereka sebagai tanda permulaan era baru sebagai pengeluar kenderaan EV sahaja, seperti yang diumumkan melalui strategi Reimagine mereka pada tahun 2021.
Transformasi ini didefinisi sebagai ‘Exuberant Modernism’, yang diberitahu merupakan satu falsafah kreatif yang merangkumi semua aspek dalam dunia baru Jaguar. “Ia meliputi rekaan berani, pemikiran tidak dijangka dan tulen, mencipta karekter jenama yang akan mengarah perhatian melalui kreativiti tanpa gentar,” tertulis di dalam siaran akhbar mereka.
Perubahan yang dibuat ini juga mengambil asas daripada falsafah pengasas Jaguar, Sir William Lyon yang pernah berkata, “Jaguar tidak sepatutnya menjadi salinan kepada apa-apa.” Bagaimana agaknya rupa model Jaguar masa hadapan nanti? Syarikat itu memberitahu, mereka akan menunjukkan konsep rekaan baru melalui Design Vision Concept, yang akan didedahkan 2 Disember ini semasa acara Miami Art Week.
Sementara pada masa ini kita masih belum dapat melihat kereta tersebut – teaser sedan EV pernah dikeluarkan baru-baru ini – Jaguar bagaimanapun ada menunjukkan logo baru yang bakal diguna. “Ia adalah satu sambutan penuh kuasa kepada modernism – bentuk geometri, simetri dan kesederhanaan – menggambarkan benda yang tidak boleh dijangka dengan menggabungkan karekter atasan dan bawah dalam imej harmoni,” kata Jaguar. Jika ditulis, ia menjadi ‘JaGUar’.
Turut didedahkan bersama logo ini adalah tanda unik Jaguar melompat yang sudah digunakan oleh jenama ini sekian lama, dengan monogram baru dikatakan menjadi “kod untuk ekspresi dan penanda tugas yang sudah lengkap.”
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.