Chery baru sahaja melancarkan Tiggo Cross di salah satu pasaran terkuat mereka, iaitu Afrika Selatan. Model ini sebenarnya adalah sama seperti Tiggo 4 Pro facelift yang dilancarkan di China April lalu, dan semua peningkatan yang diperkenalkan ada pada Tiggo Cross ini termasuk gril lebih besar, DRL LED menegak, lampu hadapan lebih nipis serta lampu belakang LED yang bersambung di tengah.
Dalam pasaran lain, model ini akan menggantikan Tiggo 4 Pro sebelumnya, tetapi nampaknya di Afrika Selatan, kedua-duanya masih dijual dan Tiggo Cross ini diletakkan di antara Tiggo 4 Pro dan Tiggo 7 Pro.
Tiggo Cross ditawarkan dalam dua varian iaitu Comfort pada harga ZAR400k (RM99k) dan Elite pada ZAR450k (RM111k). Bagi model permulaan Comfort, ia datang dengan enam beg udara, rim 17 inci, cermin sisi boleh lipat secara elektrik, lampu utama dan lampu kabus LED, lampu belakang LED serta kemasan ekzos krom.
Sementara itu, Elite yang berada di atasnya pula mendapat tujuh beg udara (termasuk di tengah), ADAS, rim 18 inci, angkup brek berwarna merah, bumbung panoramik, kamera 360 darjah serta tempat duduk hadapan dengan fungsi pemanas dan larasan kuasa.
Di dalam, keadaannya sama seperti Tiggo 4 Pro facelift dengan terdapat skrin panjang di hadapan, corong udara sepanjang papan pemuka serta tombol gear yang gemuk di tengah. Di bawah bonetnya terdapat enjin empat silinder 1.5 liter turbo dengan padanan transmisi enam kelajuan klac berkembar.
Model ini juga sudah sah akan tiba di Malaysia pada tahun hadapan. Apa pendapat anda dengannya?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.