Selepas mencuba garis jalan glow-in-the-dark di beberapa kawasan, kerajaan membuat keputusan mungkin tidak akan meneruskan penggunaannya. Menurut timbalan menteri kerja raya, Ahmad Maslan, kos yang tinggi adalah faktor utama keputusan menimbang balik projek ini dibuat – lapor FMT.
Bukan setakat itu, beliau juga memberitahu bahawa melalui percubaan yang dibuat sebelum ini, ia juga tidak dapat memuaskan hati para pakar di Kementerian Kerja Raya.
“Glow-in-the-dark telah kita laksanakan percubaannya tetapi ia tidak memuaskan hati kumpulan pakar di KKR. Jadi, berkemungkinan kita tidak akan meneruskannya tambahan pula kosnya yang agak mahal. Namun demikian adalah penting supaya garisan putih diteruskan,” katanya.
Garis jalan glow-in-the-dark telah digunakan kali pertama November lalu di Hulu Langat, melibatkan laluan sepanjang 245 meter antara Jalan Sungai Lalang dan Jalan Sungai Tekali. Ia adalah sebagai alternatif kepada road stud atau “mata kucing.”
Selain beberapa tempat lain di Selangor, garis jalan glow-in-the-dark ini juga dicuba di negeri lain seperti Johor ( Jalan Bukit Kucing di Gelang Patah, Jalan Paloh J16 Batu Pahat), Kedah (Jalan Padang Sanai, Kuala Nerang menghala ke Durian Burung, Padang Terap) dan Negeri Sembilan (jalan lama Bukit Putus, Kuala Pilah, Jalan Bukit Miku, Rembau).
Kos tinggi garis jalan glow-in-the-dark pernah diberitahu sebelum ini oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, yang menyatakan kosnya mencecah hampir 20 kali ganda berbanding kaedah konvensional yang digunakan ketika ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.