Honda Malaysia baru sahaja mengumumkan bahawa ia akan mempamerkan Honda Prelude Concept di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024 yang bakal berlangsung bermula 5 hingga 11 Disember ini di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Model konsep berkenaan membuat kemunculan globalnya ketika berlangsung Japan Mobility Show 2023, dan kemudian turut dibawa ke Eropah menerusi Goodwood Festival of Speed 2024 Julai lalu. Kemunculannya di KLIMS 2024 nanti bukan sahaja menjadi penampilan pertama Prelude Concept ini di Asia Tenggara, malah ia adalah yang pertama di Asia selain Jepun.
Honda sebelum ini telahpun mengesahkan bahawa model produksi Prelude generasi baharu ini kelak akan dihasilkan sebagai model global dalam versi pemanduan sebelah kiri (LHD) dan sebelah kanan (RHD) dan bakal dijual di seluruh dunia.
Walaupun tidak dinyatakan oleh Honda, bentuk asas Prelude ini agak seiras dengan Honda Civic generasi ke-11, membayangkan ia dibina menggunakan platform yang sama. Namun Honda ada mengesahkan bahawa Prelude ini akan ditawarkan hanya sebagai model hibrid sahaja.
Jadi boleh diagak Prelude ini mungkin akan menerima unit rangkaian kuasa yang sama seperti Civic Hybrid e:HEV yang menggandingkan enjin petrol 2.0 liter NA yang kebanyankkan masanya bertugas sebagai ‘generator’ bateri, sementara roda hadapannya dipacu secara primari oleh motor elektrik.
Apa pun sekiranya anda mahu lihat Honda Prelude Concept ini depan mata, di mana ia mungkin tidak akan muncul lagi dalam mana-mana acara di Malaysia selepas ini, jangan lupa untuk datang ke MITEC bulan depan!
GALERI: Honda Prelude Concept di Japan Mobility Show 2023
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.