Barisan kenderaan elektrik keluaran Hyundai kini disertai sebuah model baru apabila pengeluar itu memperkenalkan Ioniq 9, yang dibina atas platform E-GMP dan merupakan sebuah SUV tiga baris tempat duduk.
Melihat kepada saiznya, Ioniq 9 mencatat ukuran panjang 5,060 mm, lebar 1,980 mm dan tinggi 1,790 mm, dengan jarak roda 3,130 mm. Di dalam, ia boleh menempatkan enam atau tujuh penumpang, dengan tempat duduk baris ketiga menyediakan ruang kepala 1,899 mm dan ruang kaki 2,050 mm apabila kedua-dua baris tempat duduk belakang digabungkan.
Menggerakkan SUV elektrik ini adalah motor tunggal dengan pacuan roda belakang (Long Range RWD) atau dua motor pacuan semua roda (Long-Range AWD dan Performance) – kedua-duanya menggunakan bateri lithium ion NCM 110.3 kWh.
Melalui binaan elektrikal 800 volt, Ioniq 9 boleh menerima pengecasan DC sehingga 350 kW, yang dapat menaikkan tahap bateri 10-80% dalam masa cuma 24 minit dan bagi varian Long-Range RWD, bateri penuh boleh memberikan jarak perjalanan sehingga 620 km mengikut standard WLTP.
Berkenaan kuasa, varian permulaan Long-Range RWD yang menggunakan satu motor di belakang mampu menghasilkan kuasa 160 kW (218 PS) dan tork 350 Nm, manakala varian Long-Range AWD pula menerima tambahan motor hadapan 70 kW (95 PS)/255 Nm.
Varian paling tinggi iaitu Performance pula mendapat sepasang motor 218 PS/350 Nm, membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 5.2 saat, berbanding 6.7 saat oleh Long-Range AWD dan 9.4 saat oleh Long-Range RWD. Untuk pecutan 80-120 km/j pula, Long-Range RWD mencatat 6.8 saat, Long-Range AWD 4.8 saat dan Performance 3.4 saat. Laju maksimum untuk semua varian adalah 200 km/j.
Suspensi yang digunakan pada Ioniq 9 terdiri daripada tetapan MacPherson di hadapan dan multi-link di belakang, dengan penyerap boleh rata sendiri dan hydro-bushing untuk mengurangkan gegaran semasa memandu. Menurut Hyundai, Ioniq 9 juga datang dengan mod treler, yang membahagikan tork 50:50 antara roda hadapan dan belakang, bagi mendapatkan prestasi menunda yang paling optima, sehingga 2,500 kg.
Turut disediakan adalah Chassis Domain Control Unit, yang mengendalikan pembahagian tork serta kawalan stabiliti angin lintang. Terrain Traction Control System boleh digunakan untuk jalan kasar, manakala Auto Terrain Mode menggunakan khidmat AI untuk mengenali permukaan jalan yang dilalui dan memilih mod pemanduan yang paling sesuai.
Di bahagian dalam, Ioniq 9 boleh dipilih dengan enam atau tujuh tempat duduk, menampilkan Relaxation Seats yang boleh dibaring rata dan mempunyai perehat kaki, untuk baris pertama dan kedua. Menjadikan tempat duduk baris kedua lebih istimewa, ia boleh dipusing untuk menghadap ke belakang.
Ioniq 9 untuk pasaran tertentu akan didatangkan dengan cermin sisi digital, memaparkan pandangan sisi belakang pada skrin OLED tujuh inci. Pandangannya boleh menjadi lebih luas untuk fungsi mengundur serta melihat garis jalan.
Sistem infotainmen Ioniq 9 terdiri daripada skrin 12 inci yang bersambung secara melengkung dengan panel instrumen 12 inci di hadapan pemandu. Lapan pembesar suara disediakan secara standard, tetapi pembeli juga boleh menaik taraf kepada sistem audio premium Bose 14 pembesar suara dengan fungsi e-Active Sound Design (e-ASD).
Di dalam kabin Ioniq 9 terdapat konsol tengah ‘Universal Island 2.0’, yang boleh dilungsur ke hadapan dan belakang sehingga 190 mm. Bahagian atasnya menyediakan ruang 5.6 liter, sementara di bawah tersedia 12.6 liter lagi ruang. Dengan semua tempat duduk tegak, ruang barangan yang tersedia di belakang adalah 620 liter, sementara apabila tempat duduk baris ketiga dilipat, ia menjadi 1,323 liter. Ruang barangan hadapan mempunyai kapasiti 88 liter pada varian RWD dan 52 liter pada AWD.
Membantu memudahkan pengguna pada Ioniq 9 ini adalah EV Route Planner, serta petunjuk tahap bateri kenderaan pada roda stereng. Selain daripada itu, SUV ini juga dilengkapi dengan servis Features on Demand (FoD), yang membenarkan pengguna membeli fungsi digital melalui kedai dalam talian, seperti pancahayaan lampu dinamik apabila membuka pintu atau menutup pintu dan kandungan daripada Amazon Music dan SoundCloud.
Pada setiap baris tempat duduk Ioniq 9 ini terdapat soket USB-C 100 watt, dan menjadikannya berbeza berbanding kenderaan biasa, ia mengambil kuasa terus daripada bateri voltan tinggi kenderaan, dan bukannya daripada bateri 12 volt biasa. Turut disediakan adalah fungsi V2L.
Menurut Hyundai, SUV elektrik tiga baris tempat duduk ini akan mula dijual di Korea dan Amerika Syarikat separuh tahun pertama 2025, disusuli oleh Eropah dan pasaran lain selepas itu.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.