Sebanyak 13 daripada 33 syarikat konsesi lebuhraya belum menyatakan persetujuan mengenai pelaksanaan sistem pembayaran tol Aliran Pantas Pelbagai Lorong atau Multi Lane Fast Flow (MLFF), ujar Timbalan Menteri Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Ahmad Maslan.
Setakat ini, beliau berkata, rundingan masih lagi dijalankan dengan semua syarikat konsesi mengenai konsep plaza tol tanpa palang itu, laporan Berita Harian
“Mengenai MLFF tempoh rundingan berdasarkan perjanjian adalah sehingga 16 Disember 2024 yang mana pelaksanaan ini akan menyaksikan berlakunya konsesi atas konsesi. Kita ada 33 syarikat konsesi (lebuhraya) dan yang ini nak dikonsesiakan pula kaedah MLFF. Masalahnya tak semua konsesi bersetuju yang mana 20 (syarikat) konsesi dalam rundingan dan 13 lagi belum setuju.
“Jadi kita tunggu sehingga 16 Disember depan, kalau tak dapat (persetujuan) semua 33 (syarikat konsesi), kita akan buat cadangan lain,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu Ahmad menegaskan pelaksanaan MLFF juga perlukan kepada pindaan akta tertentu dilakukan antara lain untuk mengekang tindakan pihak yang mengelak daripada bayaran tol.
Beliau berkata, palang tol adalah bentuk kawalan yang mana jika ada kenderaan yang tidak melakukan bayaran, maka ia dapat dilihat dengan jelas.
“Yang tak bayar tol ni 1.01%, sama ada mereka langgar (palang tol) yang mana sikit sangat atau ‘tailgating’ (ikut rapat). Kalau dah ada sistem tol yang tak ada rumah macam sekarang, mereka yang tak bayar tol akan bertambah. Jadi kena pinda akta untuk lihat siapa nak bayar bagi mereka yang lari daripada bayar tol,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.