Dua model BMW Motorrad yang berkongsi asas sama, iaitu F900 R (roadster/naked) dan F900 XR (touring) diberi peningkatan untuk model tahun 2025. Ia melibatkan bahagian enjin, kelengkapan serta sistem elektronik yang diberikan secara standard.
Bermula di bahagian enjin, unit dua silinder selari (270 darjah) 895 cc pada dua model ini secara asasnya masih lagi sama, menghasilkan kuasa 105 hp pada 8,500 rpm dan tork 93 Nm pada 6,750 rpm, tetapi tahap emisinya diperbaiki dengan kini mematuhi piawaian Euro 5+. Transmisi adalah unit enam kelajuan.
Bagi menambah kepuasan, mod tunggangan Dynamic dengan tetapan yang lebih sporty ditambah kepada dua mod sedia ada (Rain dan Road) sebelum ini. Sistem elektronik lain yang kini diberikan standard pada dua model F900 ini adalah Dynamic Traction Control (DTC), Engine Drag Control, BMW Motorrad ABS Pro dan Dynamic Brake Control (DBC).
Pergi ke bahagian suspensi, fork hadapan kini dinaik taraf dengan unit USD 43 mm dengan pelarasan lantunan, mampatan serta pra beban, manakala bahagian belakang masih lagi menggunakan monoshock dengan pelarasan pra beban dan lantunan.
Secara keseluruhannya, berat F900 R dan F900 XR ini berkurang sebanyak tiga kilogram, menjadi masing-masing 208 kg dan 216 kg, dan antara penyumbangnya adalah rim aluminium 17 inci (-1.8 kg) serta bateri (-0.8 kg) baru. “Ekor” belakang model ini juga adalah baru, lengkap dengan lampu penunjuk arah bersepadu.
Pada F900 R, demi menjadikannya lebih sesuai dengan karekter yang dibawa, kedudukan pemegang, peletak kaki dan tuil kawalan direka dan dilaras semula supaya lebih sporty dan dekat kepada roda hadapan. Tiga warna ditawarkan untuk F900 R 2025 iaitu Snapper Rocks Blue, Blackstorm (Triple Black) dan Lightwhite/Racingblue (Sport).
F900 XR juga menerima tambahan kelengkapan standard khas untuknya, yang termasuk Headlight Pro, pelindung tangan, soket pengecas USB-C dan pemanas tangan. Ia ditawarkan dalam warna Racing Red, Blackstorm (Triple Black) dan Lightwhite/Racingblue.
GALERI: BMW F900 R 2025
GALERI: BMW F900 XR 2025
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.