Proton eMas 7 2025 — tanggapan awal pemanduan

Proton eMas 7 2025 — tanggapan awal pemanduan

Menjelang pengenalan rasmi EV Proton eMas 7 pada Disember nanti, minggu lalu sekali lagi sesi pra-tonton SUV berkenaan dilakukan oleh Proton (tempahannya juga sudah mula dibuka hujung Oktober lalu). Memang, sudah banyak maklumat mengenai SUV elektrik ini yang sudah kita ketahui (selain harga, tentunya), tetapi kunjungan terbaru ke Pusat Kecemerlangan Proton (COE) di Shah Alam turut melibatkan sesi pandu uji ringkas dan singkat di dalam litar ujiannya.

Itu yang ingin kami kongsikan kali ini: sedikit pandangan tentang pengalaman pemanduan tersebut. Tetapi sebelum itu, kita tinjau semula penawaran yang bakal diberikan untuk Proton eMas 7 ini untuk pasaran tempatan.

Bagaimanapun, gambar luaran eMas 7 tanpa pelekat samaran masih belum boleh ditunjuk. Maka disebabkan itu, kali ini hanya gambar kabin dengan perincian lengkap bagi versi produksinya yang akan ditunjukkan terlebih dahulu — bagi kedua-dua varian yang akan ditawarkan nanti.

Proton eMas 7 2025 — tanggapan awal pemanduan

Proton eMas 7 akan ditawarkan dalam dua varian untuk pasaran tempatan, iaitu Prime dan yang paling lengkap, Premium. Dari segi saiz, SUV EV Proton ini berada dalam segmen C dengan ukuran seperti berikut: 4,615 mm panjang, 1,901 mm lebar, 1,670 mm tinggi dengan jarak roda 2,750 mm.

Dari aspek ini, ia boleh menyaingi Honda CR-V yang hadir dengan ukuran seperti berikut: 4,706 mm panjang (+91 mm), 1,942 mm lebar (+41 mm), 1,684 mm (+14 mm) tinggi dengan jarak roda 2,700 mm (-50 mm). Untuk EV pula, eMas 7 selalu ingin dibandingkan dengan BYD Atto 3 (bahkan ketika sesi pandu uji ringkas ini berlangsung, Atto 3 turut dihadirkan): panjang Atto 3 ialah 4,455 mm (-160 mm), 1,875 mm lebar (-26 mm), 1,615 mm tinggi (-55 mm) dengan jarak roda 2,720 mm (-30 mm).

Kedua-dua varian tersebut juga berkongsi unit janaan kuasa yang sama iaitu motor elektrik tunggal “12-dalam-1” yang memacu roda hadapan dengan janaan sebanyak 218 PS (160kW) dan 320 Nm tork puncak. Konfigurasi tersebut cukup untuk membolehkan eMas 7 memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat, menjadikan ia model produksi Proton paling pantas setakat ini. Kelajuan maksimum yang boleh dicapai adalah 175 km/j.

Berkenaan bateri, kedua-dua tersebut menggunakan bateri lithium iron phosphate (LFP) dengan rekaan “bilah pendek” Aegis yang dibangunkan oleh Geely sendiri. Yang membezakan keduanya adalah kapasiti bateri yang berbeza — varian Prime dilengkapi bateri berkapasiti 49.52 kWj manakala varian Premium pula dengan kapasiti 60.22 kWj.

Untuk jarak perjalanan yang boleh dicapai Protom eMas 7 Prime boleh bergerak sejauh 345 km untuk satu cas penuh bateri, manakala eMas 7 Premium dengan kapasiti bateri lebih besar boleh bergerak sejauh 410 km untuk satu cas penuh baterinya. Angka ini diperolehi menerusi kitaran ujian WLTP yang lebih tepat berbanding NEDC.

Proton eMas 7 juga datang sistem pengecas pantas DC 80 kW untuk Prime dan 100 kW untuk Premium, membolehkan pengecasan dari 30% hingga 80% dicapai dalam masa hanya 20 minit. Pengecas AC juga boleh digunakan dengan kadar maksimum 11 kW, membolehkan kadar cas 30% hingga 80% dicapai dalam masa 4.9 jam untuk Prime dan 6.1 jam untuk Premium. Dalam kiraan mudah, dengan setiap pengecasan DC selama 10 minit, pengguna boleh mendapat 135 km jarak perjalanan. Jika anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang perbezaan antara kedua-dua varian ini, sila rujuk di sini.

Proton eMas 7 2025 — tanggapan awal pemanduan

Lagi tentang bateri yang digunakan. Menurut Proton, hayatnya mampu bertahan sehingga 921 kali pengecasan (bersamaan sekitar jarak 400,000 km perjalanan), dan dalam keadaan itu pun ia akan masih memberikan tahap kesihatan bateri pada kadar 90.5%. Bateri berkenaan merupakan unit dengan high density energy pada kadar 192 Wh/kg, dan dengan saiz 580 mm panjang serta ketebalan 18.2 mm — yang disepadukan dalam rangka kenderaan di bahagian lantai supaya tidak mengorbankan ruang kabin atau but.

SUV ini juga menyediakan ruang yang luas dan banyak. Bagi ruang but di belakang, dengan kerusi dinaikkan, yang tersedia ialah 461 liter termasuk 51 liter lagi di bahagian bawah lantainya. Di bawah konsol tengan juga ada satu bukaan besar yang memberikan kapasiti tambahan 10.8 liter. Di bawah kerusi penumpang belakang pula ada laci tersorok dengan kapasiti 14 liter. Dan, jika penyandar kerusi belakang direbahkan habis, sebanyak 1,877 liter kapasiti ruang akan tersedia untuk dimanfaatkan. Penyandar kerusi belakang juga ada dua tahap larasan yang boleh dipilih untuk keselesaan: 30-35 darjah.

Jadi, bagaimana dengan tanggapan pertama setelah memandu uji Proton eMas 7 dalam litar ujian Proton? Pertama sekali, ketika memasuki kabin dan menyelaraskan tempat duduk untuk memandu, kami perasan yang ruang di dalamnya cukup luas. Ini terutamanya untuk penumpang di belakang: ruang kaki yang tersedia dengan kerusi depan dalam kedudukan memandu adalah mengkagumkan.

Proton eMas 7 2025 — tanggapan awal pemanduan

Rekaan papan pemuka segar dan moden (ada juga lampu ambient), konsol tengah, skrin sentuh 2.5K HD yang besar (15.4-inci) di tengah dan skrin kluster panel instrumen untuk maklumat pemanduan yang juga puas dipandang (10.2-inci) — yang memanfaatkan cip Dragon Eagle One 7NM (RAM 16GB, storan 128GB) serta sistem operasi Flyme Auto yang dibangunkan oleh Meizu (syarikat teknologi dan telefon milik Geely). Sistem bunyi pula menggunakan Flyme Sound dengan varian paling tinggi menerima 16-pembesar suara, kuasa 1,000 watt dan kesan bunyi keliling Wanos.

SUV ini tidaklah memberikan rasa kedudukan yang tinggi seperti CR-V misalnya, namun tetap memberikan pandangan yang luas di hadapan. Seawal menekan pedal kuasa untuk menggerakkan kenderaan, perhatian kami tertarik terhadap betapa tangkas dan bertenaganya sistem janaan melonjakkan pacuan SUV ini. Memang penyaluran tork yang segera dan terasa langsung begini adalah satu kelebihan untuk mana-mana EV, namun kesan tujahan dari pegun yang diberikan oleh Proton eMas 7 ada kelainan yang dapat dirasakan. Apatah lagi, di sesi yang bersamaan, kami juga berkesempatan untuk merasakan pemanduan BYD Atto 3 yang dibawakan sebagai perbandingan.

Perlu juga dinyatakan terlebih dahulu yang sebelum memulakan pemanduan, mod pemanduan eMas 7 telah ditetapkan kepada Sport. Kepekaan pedal kuasa serta tahap cengkaman brek regenratif yang ada semuanya boleh ditetapkan secara berasingan, dengan maklum balasnya yang juga sendiri. Tidak sukar untuk menambah kelajuan dalam pemanduan eMas 7 ini. Sekejap sahaja kuasa boleh dirasakan sampai terus kepada roda depan. Tentang kestabilan, ketika melalui laluan condong di litar Proton tersebut, eMas 7 dengan yakin dan tegap memegang selekoh dalam kelajuan dari 110 km/j dan makin meningkat.

Proton eMas 7 2025 — tanggapan awal pemanduan

Ini menunjukkan satu hal lagi — tetapan suspensi yang diberikan untuk SUV elektrik ini juga cukup tegap dan stabil, tidak seperti unit kembarnya, Geely Galaxy E5 yang pernah ditunjuk sebelum ini. Dalam kelajuan tinggi pun eMas 7 dirasakan begitu “compose” dan tidak teroleng sebarangan — membuat kami merasa seperti sentiasa berada dalam kawalan. Bagi kami, prestasi pemanduan dan penyaluran kuasa eMas 7 sedikit berada diluar jangkaan awal. Ia bahkan dirasakan lebih dekat dengan prestasi pemanduan smart #1 yang digunaan sebagai kenderaan pengangkut penumpang ketika itu.

Namun, ada dua perkara yang kami fikir agak mengganggu dan tidak disukai. Pertama, walaupun saluran kuasa pemanduannya meyakinkan, tetapi untuk mengendalikan SUV terbabit melalui rekaan stereng yang bujur aneh itu agak menjengkelkan. Bahagian atasnya ada sudut yang hampir rata, manakala bahagian bawah stereng pula rata. Dengan dia jejari sahaja di kiri dan kanan stereng, sangat sukar untuk mengetahui di bahagian stereng mana yang sedang kita pegang — kerana itu mempengaruhi langsung arah tuju belokan tayar — terutama ketika dalam situasi memulas habis stereng berkenaan. Jika bahagian atasnya bulat seperti biasa, itu kami rasakan lebih baik.

Perkara kedua yang tidak menarik ialah bunyi “ais krim Mat Kool” yang boleh didengar samar-samar ketika SUV ini meluncur di bawah 30 km/j. Bunyi ini dihalakan ke luar kenderaan, sebagai menandakan kehadirannya (kerana EV sangat senyap) dan memaklumkan orang di persekitaran, misalnya pejalan kaki. Ini memang peraturan untuk EV di China dan Eropah bahkan, tetapi jenis bunyi yang dihasilkan itu mungkin lebih baik diberikan nada atau melodi lain yang lebih jelas dan “keras”.

Proton eMas 7 2025 — tanggapan awal pemanduan

Untuk duduk di belakang, ini adalah satu kelegaan yang sangat dinikmati. Tidak hanya ruang kakinya luas, penyandarnya juga ada dua tahapan sudut yang meningkatkan lagi keselesaan untuk penumpang. Ini ciri yang akan sangat dihargai jika SUV ini digunakan untuk kegunaan keluarga, dan jika ia digunakan untuk perjalanan yang lama.

Bagi kami, yang akan menentukan penerimaan utama terhadap Proton eMas 7 ini ialah tanda harganya. Dengan adanya begitu banyak banyak pilihan EV sekarang (merentas segmen yang ada), hanya harga sahaja yang akan membuatkan khalayak mempertimbangkannya untuk dibeli dan digunakan. Ketika ini, anggarannya ialah sekitar RM120,000, satu julat harga yang hampir sama dengan BYD Atto 3.

Bagi ciri keselamatan ADAS Tahap 2, Proton eMas 7 turut dilengkapi dengan fungsi bantuan pemanduan lengkap seperti Intelligent Cruise Control (ICC); Adaptive Cruise Control (ACC); Collision Mitigation Braking System (CMBS) yang merangkumi AEB, Forward Collision Warning (FCW) dan Dynamic Brake Support (DBS); Lane Keeping Assist (LKA) yang terdiri daripada Lane Departure Warning (LDW), Lane Departure Prevention (LDP) dan Emergency Lane Keeping Assist (ELKA); Rear Side Radar Assist System yang termasuk Rear Collision Warning (RCW), Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Rear Cross Traffic Braking (RCTB), Lane Change Assist (LCA), Blind Spot Detection (BSD) dan Door Open Warning (DOW); serta Traffic Sign Identification (TSI).

Pilihan warna badan untuk Proton eMas 7 ada lima semuanya, terdiri daripada Platinum Silver, Turquoise Green, Slate Grey, Quartz Rose dan Lithium White. Untuk ruang kabin, hanya satu warna ditawarkan, dikenali sebagai Indigo Blue.

Memandangkan ia sebuah EV, anda fikir Proton eMas 7 akan berjaya menawan pasaran pengguna umum di Malayisa atau sebaliknya?

Kabin Proton eMas 7 Premium

Studio:

Kawasan terbuka:

Kabin Proton eMas 7 Prime

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required