Kadar parkir di Pulau Pinang akan mengalami peningkatan untuk pengguna Penang Smart Parking (PSP) mulai Mac 2025. Dengan semakan harga baharu itu, kadar parkir akan dinaikkan dari RM0.40 kepada RM0.60 untuk 30 minit, RM0.80 kepada RM1.20 untuk satu jam, dan RM6 kepada RM9 untuk sepanjang hari.
Seperti dilaporkan The Star, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Datuk A. Rajendran berkata, pelarasan kadar itu perlu bagi menampung penyelenggaraan penderia tempat letak kereta dan melaksanakan naik taraf bagi menambah baik sistem PSP.
“Peningkatan ini bukan untuk menjana keuntungan. Matlamat utama kami adalah untuk memastikan sistem tempat letak kereta beroperasi dengan cekap dan terus memberi manfaat kepada semua pengguna. Ia juga membantu mengawal tempoh tempat letak kereta untuk memastikan akses adil untuk semua orang,” katanya.
“Kenaikan terakhir adalah pada 2014, apabila kadar 30 minit dinaikkan daripada 30 sen kepada 40 sen. Sebelum itu, kadar tidak berubah sejak 1990-an,” kata Rajendran kepada FMT.
Mengenai perkara berkaitan, pengguna PSP akan mendapat manfaat daripada pengurangan kadar parkir tahunan, yang akan diturunkan daripada RM1,800 kepada RM1,200 antara Mac dan Disember tahun depan. Bagaimanapun, caj bulanan kekal tidak berubah pada RM150.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.