Proton mengumumkan bahawa jentera lumba S70 pasukan R3 yang berlumba di perlumbaan endurance Sepang 1000KM hujung minggu lalu bakal dipamerkan di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024 yang akan berlangsung bermula 5 hingga 11 Disember ini, di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Menurut Proton, unit yang dipamerkan adalah jentera bernombor #82 dipandu pasangan Alister Yoong dan Ariff Azmi, yang berjaya menghabiskan perlumbaan tersebut di tempat ke-5 dalam kelas MTC. Ia akan dibawa ke MITEC tanpa diperbaiki, dan akan menampilkan ‘battle scars’ pada badan yang ‘diterima’ dalam perlumbaan tempoh hari.
Pasukan Proton R3 tidak bernasib baik diperlumbaan S1k 2024 kerana selepas lima tahun berehat bukan sesuatu yang mudah untuk mereka bangkit semula. Proton S70 bernombor #81 pasukan itu yang dipandu oleh Syafiq Ali terlibat dalam insiden pada awal babak iaitu baru lap ke-8. Kereta berkenaan berpusing selepas bahagian belakangnya bersentuh dengan kereta di belakang dan melanggar dinding penghadang, menyebabkan ia tidak boleh meneruskan perlumbaan.
Jentera #82 yang akan dipamerkan di KLIMS ini terpaksa bergelut pada kelompok belakang dengan memulakan perlumbaan di tempat ke-sembilan dan kemudian menghadapi pula masalah teknikal dan terpaksa diperbaiki di dalam hentian pit dalam masa 40 minit. Namun dengan prestasi konsisten ditunjukkan pada akhir perlumbaan S70 #82 tersebut berjaya menamatkan perlumbaan pada kedudukan ke-5 dalam kelas MTC.
“Pasukan Proton R3, bersama pemandunya dan Proton S70 R3, telah memperkukuh warisan perlumbaan Proton dengan mempersembahkan prestasi yang cemerlang di perlumbaan S1K 2024. Walaupun kami mensasarkan kemenangan keseluruhan, pasukan menyedari cabaran besar yang menanti, iaitu persaingan dengan kereta baru, berhadapan dengan pasukan-pasukan yang telah berlumba selama tiga tahun dan jauh lebih maju dalam pembangunan kenderaan.”
“Akhirnya, kami tiada sebarang rungutan, walaupun kemalangan awal dalam perlumbaan menyebabkan kereta 81 terpaksa berhenti, sementara masalah teknikal pada kereta 82 menyebabkan ia kehilangan masa di pit dan tersingkir dari persaingan keseluruhan.
“Jadi, walaupun kami mengharapkan keputusan akhir yang lebih baik, banyak data berguna telah dikumpulkan sepanjang hujung minggu, dan kedudukan kelima dalam kelas MTC telah menetapkan asas bagi R3 untuk memulakan persiapan bagi musim perlumbaan 2025,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.