BMW Group Malaysia telah pun melancarkan pusat pengedaran alat ganti serantau di Zon Perindustrian Bebas Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru yang kini diperluaskan selepas dibuka secara rasmi pada tahun 2017. Ia adalah sempena dengan ulang tahun ke-20 Pusat Pengedaran Alat Ganti Serantau BMW Group di Malaysia.
Mula ditubuhkan di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) Gelang Patah pada 2004, Pusat Pengedaran Alat Ganti Serantau BMW Group telah berpindah ke fasiliti canggihnya di lokasi terkini pada 2016. Sebagai salah satu fasiliti BMW terbesar seumpamanya di rantau Asia Pasifik, Pusat Pengedaran Alat Ganti Serantau BMW Group ini pada asalnya merupakan gudang berkeluasan 45,000 meter persegi. Kini, fasiliti tersebut meliputi 65,000 meter persegi, seterusnya memperkukuhkan komitmen BMW Group terhadap kecemerlangan operasi di rantau dan pelaburan negara ini.
Perluasan terbaharu Pusat Pengedaran Alat Ganti Serantau BMW Group membawakan beberapa penambahbaikan yang ketara, termasuk Kawasan Penyimpanan Bateri Voltan Tinggi (HV) yang dibina khusus serta sistem rak lorong sangat sempit (VNA) yang moden. Konfigurasi dua tingkat fasiliti ini menyediakan peluang untuk perluasan pada masa hadapan, manakala penggunaan bumbung panel solar menyokong inisiatif kemampanan BMW Group dengan lebih meluas.
Ia juga menguruskan stok dengan hampir 52,000 alat ganti, yang mana sekitar 30 daripadanya merupakan Bateri Voltan Tinggi, serta mengekalkan kadar pengambilan dan pembungkusan tepat waktu melebihi 99% serta kadar 99.5% bagi barangan yang dihantar dalam kondisi sempurna. Setiap minggu, 15 unit kontena 40-kaki dihantar menerusi pengangkutan laut BMW Group dan 33,000 meter padu menerusi penghantaran udara. Di peringkat domestik, fasiliti ini menguruskan 42 trak untuk penghantaran keluar ke Malaysia, Singapura, dan Thailand setiap minggu.
Menurut syarikat ini, sejak pusat pengedaran alat ganti tersebut ditubuhkan, ia telah menyaksikan pertumbuhan yang berterusan dalam perolehan tahunannya. Meningkatkan keupayaan perniagaan daripada EUR 141 juta (RM661 juta) pada 2017 kepada lebih EUR 277 juta (RM1.29 bilion) pada 2023, peningkatan hampir 97% dalam pertumbuhan dan hampir dua kali ganda daripada ketika fasiliti tersebut mula beroperasi.
“Dalam meraikan 20 tahun Pusat Pengedaran Alat Ganti Serantau di Malaysia, kami mengimbas kembali akan kepentingan fasiliti ini bukan sahaja daripada segi kejayaan BMW Group sebagai pengeluar automotif premium terkemuka di Malaysia tetapi juga dalam mengukuhkan status Malaysia sebagai hab logistik strategik kami di rantau Asia Pasifik,” kata Benjamin Nagel selaku Pengarah Urusan BMW Group Malaysia.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.