Chery Malaysia menerusi jenama Omoda telah mengumumkan kerjasamanya bersama Universal Pictures bagi mempromosikan filem terbaharu Wicked, yang kini sedang ditayangkan di pawagam. Kerjasama ini menyaksikan dua buah model Omoda iaitu Omoda 5 dan versi EVnya iaitu Omoda E5 masing-masing dibalut dengan pelekat badan berwarna merah jambu dan juga hijau, mewakili dua watak utama dalam filem tersebut, Glinda dan Elphaba.
Omoda 5 berwarna merah jambu yang digelar sebagai ‘Pink Witch Edition’ berkenaan kini sedang dipamerkan di pawagam TGV Bukit Jalil bermula hari ini sehingga 11 Disember nanti. Manakala Omoda E5 ‘Green Witch Edition’ pula belum ditunjuk dan diumum di mana ia akan dipamerkan kelak. Menurut Omoda, penampilan kedua-dua SUV ini akan “membina jambatan bagi mendekatkan lagi antara jenama dan pelanggannya”.
Wicked merupakan filem yang diadaptasi dari persembahan pentas muzikal blockbuster dengan tajuk sama. Ia dibintangi oleh Cynthia Erivo yang memegang watak Elphana dan juga Ariana Grande sebagai Glinda. Pelakon kelahiran negara yang baru memenangi anugerah Oscar baru-baru ini, Tan Sri Dato’ Seri Michelle Yeoh turut membintangi filem tersebut bersama pelakon lain termasuk Jeff Goldblum, Jonathan Bailey dan Peter Dinklage.
Omoda 5 telah pun berada dalam pasaran tempatan selepas dilancarkan Julai tahun lalu, ditawarkan dalam dua varian. Varian asas C dijual pada harga RM99,800, manakala varian tertinggi H pula dijual pada harga RM118,800. Namun kedua-duanya menampilkan unit rangkaian kuasa sama iaitu padanan enjin 1.5 liter empat-silinder turbo berkuasa 156 PS dan tork maksima 230 Nm, bersama kotak gear CVT automatik bagi memacu roda hadapan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.