Selain dari model konsep Honda Prelude yang akan dipamerkan buat pertama kali di Asia selain Jepun, Honda Malaysia turut mengumumkan bahawa ia akan membawa skuter elektrik boleh lipat Honda Motocompacto ke Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024 yang bakal berlangsung bermula 5 hingga 11 Disember di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Motocompacto ini merupakan versi moden untuk skuter boleh lipat Honda Motocompo yang diperkenalkan pada era 80’an, popular kerana skuter berkenaan ditawarkan sebagai opsyen untuk hatchback kompak Honda City – ia boleh diletak pada kompartmen istimewa pada but belakang membolehkan skuter tersebut digunakan sebagai pengangkutan lebih mudah pada kawasan lebih sesak.
Bagi Motocampacto yang lebih moden ini, ia digerakkan dengan kuasa elektrik membolehkan rekaannya dibuat lebih ‘kurus’. Bahagian seperti pemegang, tempat duduk, roda dan tongkatnya semua boleh dilipat masuk ke dalam panel plastik petak yang boleh dianggap sebagai badan utamanya, sekaligus memudahkan ia untuk disimpan. Dalam keadaan dilipat, saiz Motocompacto cuma 3.7 inci lebar, 21.1 inci tinggi dan 29.2 inci panjang.
Tetapi di sebalik panel plastik berkenaan sebenarnya menyembunyikan bentuk skuter konvensional. Ia digerakkan oleh motor elektrik bersama bateri yang didakwa memberikan jarak gerak sehingga 19 km dengan kelajuan maksima yang boleh dicatakan pada 24 km/j.
Pengecasnya juga terdapat di dalam dan bateri boleh dipenuhkan dalam masa 3.5 jam. Dengan berat keseluruhan 18.7kg, Motocompacto didakwa boleh memecut dari 0-24 km/j dalam masa tujuh saat. Ia dibekalkan dengan brek dram hanya pada roda belakang, dan diberikan lampu hadapan LED, serta skrin digital kecil pada hendal yang memberikan bacaan kelajuan, tahap bateri serta beberapa lampu amaran penting lain.
Motocompacto ini dijual di Amerika Syarikat pada harga sekitar 995 USD (RM4,420). Ia tidak dijual di Malaysia, namun jika anda mahu merasai pengalaman menunggan skuter ini, jangan lupa datang ke reruai Honda ketika berlangsungnya KLIMS 2024 nanti!
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.