Pernah dipamerkan sewaktu Malaysia Autoshow 2024 Mei lalu, Benda Napoleon Bob 500 kini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia pada harga RM27,888 tidak termasuk insurans. Dua warna ditawarkan, iaitu hitam dan kelabu, dan ia datang dengan jaminan dua tahun tanpa had batuan.
Membawa bentuk sebuah bobber, Napoleon Bob 500 cuma datang dengan satu tempat duduk sahaja dan rimnya menggunakan saiz 16 inci dan dibalut tayar 150/80 di hadapan dan 180/65 di belakang. Menjadikan penampilannya lebih unik, fork hadapan dipasang dengan pelindung sehingga ke atas dan ekzosnya keluar dua muncung di bahagian kanan.
Menggerakkan Napoleon Bob 500 adalah enjin v-twin penyejukan cecair 475.6 cc dengan sistem suntikan bahan api, mampu menghasilkan kuasa 47 hp pada 8,800 rpm, tork 42 Nm pada 6,700 rpm dan ia disampaikan kepada roda belakang melalui transmisi enam kelajuan dengan klac slipper dan sistem tali sawat.
Walaupun datang dengan penampilan klasik, Napoleon Bob 500 diberikan dengan kelengkapan moden seperti panel instrumen digital, lampu LED serta suis berlampu. Selain itu, pada bahagian keselamatan, ia juga dilengkapi dengan brek ABS dual-channel dan sistem kawalan cengkaman.
Berat keseluruhan Napoleon Bob 500 adalah 215 kg dan kelengkapan lainnya adalah termasuk tangki bahan api 16 liter, fork USD di hadapan, penyerap belakang dengan pelarasan pra beban dan brek cakera hadapan dan belakang.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.