Geely EX5 dilancar di Thailand — kembar Proton eMas 7, varian Pro dan Max, jarak 495 km, dari RM111k

Geely EX5 dilancar di Thailand — kembar Proton eMas 7, varian Pro dan Max, jarak 495 km, dari RM111k

Kembar Proton eMas 7, Geely EX5 (Geely Galaxy E5 di China) telah masuk pasaran antarabangsa pertamanya di Thailand. Dilancarkan ketuka Thai Moto Expo yang sedang berlangsung, EX5 diimport sepenuhnya dari China, sama seperti kembarnya di Malaysia yang akan dilancarkan tak lama lagi.

Dua varian ditawarkan di Thailand — Pro dengan harga 859,000 baht (RM111,100) dan Max dengan harga 949,000 baht (RM122,700). Harga promosi ini bagaimanapun hanya terhad untuk 1,084 unit terawal, sempena meraikan ulang tahun ke-40 pengedarnya, Thonburi Group. Selepas itu harga SUV elektrik ini masing-masing akan menjadi 899,000 baht (RM116,200) dan 989,000 baht (RM127,900).

Tidak seperti di Malaysia, dua varian di sana hadir dengan spesifikasi mekanikal yang sama — janaan 218 PS (160 kW) dan 320 Nm, dan bahkan bateri Aegis bilah pendek 60.22 kWh lithium iron phosphate (LFP) juga sama. Malaysia akan menerima varian dengan kapasiti bateri 49.52 kWh.

Geely EX5 dilancar di Thailand — kembar Proton eMas 7, varian Pro dan Max, jarak 495 km, dari RM111k

Dengan kelengkapan yang lebih banyak, varian Max lebih perlahan dalam pecutan 0-100 km/j (7.1 saat berbanding 6.9 saat), dengan jarak perjalanan lebih pendek juga (490 km berbanding 495 km, kitaran NEDC). Dengan kitaran WLTP, Proton eMas 7 mampu mencapai jarak 410 km. EX5 hadir dengan laju maksimum 175 km/j.

Dengan pek bateri yang sama, kedua-dua varian menyokong pengecasan pantas DC 100 kW, menjadikan pengecasan 30%-80% hanya memerlukan 20 minit. Model ini juga menerima pengecas AC sehingg 11 kW, yang memerlukan masa 6.1 jam pengecasan. Fungsi vehicle-to-load (V2L) juga ada dengan kapasiti sehingga 3.3 kW.

Kelengkapan standard yang ada termasuklah lampu LED penuh termasuk di belakang, penutup gril aktif, rim aloi 18-inci dengan tayar Giti, landasan bumbung, sistem tanpa kunci, kawalan pendingin dua zon, kerusi depan larasan kuasa dengan liang dan fungsi urut, paparan instrumen digital 10.2-inci, skrin sentuh infotainmen 15.4-inci, pengecas tanpa wayar Qi 50 watt, sistem bunyi Flyme Audio dengan 16-pembesar suara (dengan speaker perehat kepala) dan enam beg udara. EX5 turut dilengkapi Apple CarPlay.

Geely EX5 dilancar di Thailand — kembar Proton eMas 7, varian Pro dan Max, jarak 495 km, dari RM111k

Max menerima penambahan bumbung panoramik, head-up display, kerusi depan “zero gravity”, lampu ambient 256-warna serta pintu ruang belakang berkuasa. Ia juga hadir dengan ciri bantuan pemandu yang terdiri daripada ciri seperti AEB, kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go, bantuan ke tengah lorong, amaran perlanggaran belakang dan amaran bukaan pintu. Bagi eMas 7, semua ini merupakan ciri standard.

Lima warna badan ditawarkan, iaitu Dawn White, Morning Mist Grey, Midnight Black, Streamer Silver dan Aqua Marine, dengan pilihan warna kabin putih, sedangkan untuk eMas 7 hanya ada Indigo Blue.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required