SAIC Motor Malaysia akan memperkenalkan beberapa model baru untuk pasaran Malaysia semasa Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024 yang akan berlangsung 5-11 Disember ini di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.
Antara model baru tersebut adalah ZS Hybrid, MG3 Hybrid dan MG7. Kemudiannya, SAIC Malaysia juga memberitahu bahawa mereka akan memperkenalkan secara rasmi MG Cyberster, bersama harganya untuk pasaran Malaysia.
ZS Hybrid yang merupakan sebuah SUV segmen B, dalam versi terkininya didedahkan pada bulan Ogos lalu, dengan penggerak yang terdiri daripada enjin petrol 1.5 liter NA 102 PS/128 Nm dan motor elektrik 136 PS/250 Nm yang mendapat tenaga daripada bateri 1.83 kWh. Kuasa keseluruhan yang mampu dihasilkan adalah 196 PS dan 465 Nm.
Sementara itu, MG3 Hybrid pula adalah sebuah hatchback segmen B yang diperkenalkan kali pertama kepada dunia Mac lalu dan seterusnya dilancarkan di Thailand pada bulan Ogos. Ia juga menggunakan gabungan enjin petrol empat silinder 1.5 liter NA 102 PS/128 Nm, bersama motor elektrik 136 PS/250 Nm untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 194 PS.
Melihat kepada Cyberster pula, ia datang dengan pilihan dua penggerak elektrik, bermula dengan tetapan satu motor, pacuan roda belakang dengan kuasa 340 PS/475 Nm, pecutan 0-100 km/j dalam masa lima saat dan laju maksimum 195 km/j. Pilihan seterusnya menggunakan dua motor, pacuan semua roda, kuasa 544 PS/725 Nm, pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.2 saat dan laju maksimum 201 km/j.
Setakat ini, model MG yang sudah berada di pasaran Malaysia adalah terdiri daripada MG HS yang dijual pada harga bermula RM129,000, MG5 pada RM93,900, MG4 EV dari RM103,999 dan MG ZS EV pada RM125,999.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.