Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan sebanyak 78,152 notis atas pelbagai kesalahan dalam tempoh 29 hari iaitu sejak 1 November lalu menerusi Ops Khas Motosikal Tahun 2024 yang dijalankan di seluruh negara.
“Pihak JPJ juga telah mengeluarkan sebanyak 1,530 telah notis terhadap pemandu atau penunggang motosikal yang melibatkan Warga Asing (PeWA). Hampir sebulan operasi tersebut diadakan, pihak JPJ turut menyita 2,125 motosikal atas pelbagai kesalahan dan terdapat seramai 234 penunggang motosikal telah disaring dan mendapati seramai 34 penunggang motosikal telah positif dadah,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Operasi Khas Motosikal Tahun 2024 dilaksanakan selama dua bulan bermula 1 November hingga 31 Disember 2024 di seluruh negara. Operasi ini dibuat bagi memastikan penunggang dan pemilik motosikal agar mematuhi undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah – Kaedah di bawahnya.
Menurut JPJ, pelaksanaan Ops Khas Motosikal ini adalah susulan daripada statistik yang membimbangkan dengan peningkatan trend kadar kemalangan dengan kematian secara bulanan yang telah direkodkan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutamanya melibatkan motosikal adalah sebanyak 1,908 atau 70%.
JPJ turut menyenaraikan lapan kesalahan utama yang bakal diambil berat dalam operasi kali ini bagi meminimumkan kadar kemalangan dan kematian iaitu tiada lesen memandu, tiada lesen kenderaan motor (LKM)/tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, melanggar isyarat lalu lintas (lampu merah), ubahsuai kenderaan (ekstrem), tidak memakai topi keledar, lumba haram dan kesalahan-kesalahan teknikal lain.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.