RXZ Twin Boss V2, hasil tangan Irwan Cheng dari Ipoh, yang dibawa ke Jepun untuk bertanding dalam acara Yokohama Hot Rod Custom Show 2024 memberikan kebanggaan kepada Malaysia apabila dianugerahkan dua pingat iaitu “Cool by Mooneyes” dan “Rough Craft Pick”.
“Semasa saya nampak motosikal ini buat kali pertama, saya tahu ia adalah sesuatu yang istimewa, sangat unik dan penggunaan dua enjin ini adalah satu kerja kejuruteraan yang mengagumkan. Saya tahu, untuk menghasilkan sesuatu seperti ini tidak mudah. Terutamanya di negara kecil yang mempunyai komuniti kecil. Apabila saya nampak sekali lagi motosikal ini di Yokohama Hot Rod Custom Show 2024 untuk bertanding, saya tahu ini adalah motosikal yang akan saya pilih,” kata pengasas Rough Craft, Winston Yeh.
RXZ Twin Boss ini dipanggil sebagai V2 kerana ia adalah kali kedua Irwan menghasilkan motosikal kustom yang menggunakan dua enjin RXZ, dengan yang pertama diperkenalkan pada tahun 2017 dan dijadikan sebagai hadiah cabutan bertuah di acara Art of Speed. Model V2 ini pula dihasilkan untuk bertanding di Art of Speed 2024 dan dinobatkan sebagai pemenang Invitational Bike Build Off, memberikan antara hadiahnya motosikal dibawa ke Jepun untuk bertanding di Yokohama Hot Rod Custom 2024.
Sementara RXZ Twin Boss V1 itu menggunakan dua enjin RXZ yang diletakkan berasingan secara menegak, model versi kedua ini pula menyaksikan dua enjin itu digabungkan pada bahagian crank case secara melintang. Tiada ubah suai besar dibuat pada bahagian head dan silinder selain memperkemaskan perinciannya.
Setelah enjin siap, barulah Irwan memulakan proses pembuatan sebuah motosikal dengan menetapkan jarak roda yang dimahukan, diikuti kerangka dan bahagian-bahagian lain. Tangki dan tempat duduk kini merupakan satu unit, dengan menurut Irwan, proses penghasilannya “sangat organik, tanpa perancangan tertentu.”
Antara bahagian menarik lain yang diubah suai oleh Irwan antaranya adalah rim belakang, yang diambil daripada rim kereta, dibuang bahagian tengahnya, dan kemudian ditebuk untuk dipasangkan dengan spoke serta hab yang diambil daripada Yamaha 125Z.
Motosikal ini cuma mempunyai sistem serapan di hadapan sahaja, sementara di belakang, kedudukannya adalah kejur (rigid), dengan roda belakang disambungkan kepada plet besi yang dipotong menggunakan grinder pegangan tangan, dan bukannya mesin.
Bahagian hadapan nampak kosong kerana ia tidak mempunyai brek (cuma motosikal pameran) dan di bahagian pemegang ia menggunakan kabel tersembunyi untuk pendikit dan juga klac. Karburator menggunakan dua unit 28 mm daripada Uma Racing.
GALERI: RXZ Twin Boss V2
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.