Timbalan Menteri Kewangan (MoF), Lim Hui Ying mengesahkan Kerajaan tidak mengenakan sebarang cukai tersembunyi ke atas harga runcit mingguan bagi bahan api petrol RON97 dan diesel.
Beliau menjelaskan penetapan kadar bahan berkenaan adalah mengikut kaedah apungan terkawal secara mingguan, bukannyam menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM). Bahkan, kerajaan memantau harga berkenaan bagi memastikan ia mengikut standard ditetapkan, laporan Harian Metro.
“Untuk makluman, tiada caj tersembunyi seperti ditanya Yang Berhormat (YB). Selaras pelaksanaan (penyasaran) subsidi diesel mulai 10 Jun lalu, penetapan harga runcit diesel secara mingguan yang dilakukan melalui apungan terkawal.
“Kita memang pantau dengan rapi mengenai harga diesel dan memastikan kadar diputuskan kerajaan memang mengikut standard,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) mengenai dakwaan kerajaan mengutip cukai tersembunyi bagi RON97 dan diesel susulan penetapan harga dibuat mengikut formula APM.
Berkenaan dengan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Sabah dan Sarawak pula, beliau berkata, ia masih diperingkat kajian. “Ini kerana sebahagian besar mod pengangkutan bagi melakukan aktiviti ekonomi serta program dan projek pembangunan di dua wilayah ini menggunakan bahan api diesel. Malah, keadaan geografi dua wilayah ini juga mengehadkan kebolehlaksanaan mekanisme ‘fleet card’ yang memerlukan kemudahan infrastruktur lebih sesuai terutama di pedalaman.
“Bagaimanapun, kita masih dalam peringkat kajian untuk memastikan pelaksanaan (penyasaran subsidi diesel) mungkin dibuat pada masa hadapan tetapi memerlukan lebih masa untuk kajian,” katanya.
Lim turut mengakui kelemahan pelaksanaan subsidi diesel kerana tempoh penyasaran subsidi bahan api itu masih baharu dilaksanakan, namun pihaknya sentiasa memantau dari semasa ke semasa.
“Kita masih dalam libat urus dengan pihak berkenaan dan semua industri berkaitan. Jika ada apa-apa penambahbaikan, kita tentu akan lakukan, namun buat sementara kita masih (baru) dari Jun lalu hingga kini (pelaksanaan penyasaran diesel) kurang enam bulan.
“Kita akan terus pantau pelaksanaan diesel bersubsidi dan terus membuat penambahbaikan dari semasa ke semasa,” katanya bagi menjawab soalan tambahan Azli Yusof (PH-Shah Alam) berkenaan perkara berkenaan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.