Selepas muncul dengan logo dan imej baharu yang menerima pelbagai reaksi negatif, Jaguar kini mendedahkan pula kereta konsep yang membayangkan masa depan jenama British itu selepas ini. Model konsep berkenaan dikenali sebagai Jaguar Type 00 (disebut sebagai zero zero), dihasilkan sebagai sebuah model EV coupe dua pintu, bagi bayangan untuk model produksi EV GT empat-pintu yang bakal dijual pada akhir 2025.
Seperti yang boleh dilihat, model konsep ini menampilkan permukaan badan ‘bersih’ tanpa garis-garis badan yang sibuk. Walaupun menerima pelbagai kritikan, bentuk badan coupe ini sebenarnya masih lagi mengekalkan imej model-model klasik Jaguar seperti E-Type, XJ-S dan sebagainya, menampilkan bahagian bonet hadapan yang panjang, jarak roda jauh serta overhang hadapan dan belakang yang pendek.
Ia diberikan lampu hadapan yang sangat tirus, dan diberikan gril palsu tanpa liang bersaiz besar, diberikan skrip Jaguar baharu ditengahnya. Ia diberikan bumbung panaromik yang ‘tersorok’ kerana diberikan jalur yang sama dengan warna badan.
Manakala di belakang tiada cermin diberikan, dengan bahagian tersebut dijadikan sebagai pintu tailgate yang boleh dibuka secara pantograf. Di bahagian belakang ini juga menampilkan panel yang direka seakan gril, di mana jalur paling atas dan paling bawah yang bernyala bertindak sebagai lampu belakang kereta ini.
Kedua-dua pintu utama Type 00 Concept ini pula direka untuk dibuka seakan kepak rama-rama. Set rim 23-inci dibekalkan bagi memberikan imej yang gagah, dan pada kedua-dua fender hadapan terdapar kamera sisi yang disorok kemas dalam badan sekiranya tidak digunakan, dengan penutup berwarna tembaga bersama logo Jaguar.
Dua unit Jaguar Type 00 Concept ini didedahkan di Miami Art Week minggu ini, di mana masing-masing tampil dengan warna Miami Pink dan London Blue.
Pada sebelah dalam, bahagian kira dan kanan kabin Type 00 ini dipisahkan menerusi sebatang ‘tulang’ tembaga yang merentangi sepenuhnya bahagian hadapan hingga belakang. Papan pemukanya pula terdiri dari dua skrin gergasi yang boleh dilipat untuk disorokkan.
Menurut Jaguar kabin Type 00 ini menggunakan tiga material utama iaitu tembaga, batu travertine dan tekstil. Batu travertine tersebut merupakan material yang digunakan sebagai banir bagi menyokong tempat duduk ‘terapung’ kereta ini, manakala tekstil pula digunakan untuk kemasan pada tempat duduk, bar bunyi dan lantai.
Suasana dalam kabin boleh diubah menerusi penggunaan totem berbeza, setiap daripadanya diperbuat dari tembaga, travertine dan alabaster dan diletakkan dalam kotak prisma yang disimpan dibelakang panel pintu. Setiap totem tersebut menghasilkan suasana kabin yang berbeza, menawarkan lampu, bunyi dan haruman unik.
Jaguar Type 00 ini diasaskan dari platform Jaguar Electric Architecture (JEA) yang sama dengan model produksi sebenar nanti, dibangunkan khas untuk model-model EV. Tiada angka prestasi rasmi dan spesifikasi teknikal didedahkan, namun Jaguar ada menyebut bahawa ia boleh bergerak sejauh 770 km menerusi ujian WLTP, dan jarak sejauh 321 km boleh ditambah semula dengan mengecas selama 15-minit.
Menurut laporan Autocar sebelum ini, Jaguar sudahpun menghentikan semua jualan kenderaan sedia adanya bermula November lalu. Jenama berkenaan akan bermula semula selepas ini dengan hanya menawarkan model-model elektrik sepenuhnya.
Model produksi GT empat-pintu sebenar yang dibayangkan menerusi Type 00 ini akan menjadi model pertama dari tiga model awalan yang akan diperkenal oleh Jaguar dalam era baharunya ini. Dan ia masih akan dikilangkan menerusi kilang Jaguar di United Kingdom.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.