Dipertontonkan di Malaysia pada Oktober lalu, MINI Cooper S 5-Door F65 terkini, merupakan versi semakan yang lebih meluas bagi model enjin pembakaran dalaman generasi-F55. Kini, kami membawakan pula foto yang dirakamkan di bilik pameran untuk tontonan anda.
Penjana kuasa bagi MINI Cooper S 5-Door ini ialah 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris petrol yang mampu menghasilkan 204 PS dan tork 300 Nm, memacu roda hadapan menerusi transmisi automatik dwi-klac tujuh-kelajuan. Membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 6.8 saat dan kelajuan maksimum cecah 242 km/j.
Berbanding dengan adiknya, versi tiga-pintu, MINI Cooper S 5-Door F65 ini memiliki dimensi berukuran 4,036 mm panjang, 1,744 mm lebar dan 1,464 mm tinggi.
Kelengkapan standard yang diberikan termasuklah roda aloi dua-tona ‘Slide Spoke’ 18-inci, lampu utama dengan bantuan lampu tinggi, kemasan penutup cermin dan bumbung kontras, lampu belakang LED dengan signitur tiga pilihan lampu.
Di dalamnya, Cooper S 5-Door menerima upholstery tempat duduk kulit Vescin vegan dan kemasan tekstil biru kontras, sementara kemasan papan pemuka dan pintu pula dengan fabik kitar semula polister dua-tona. Selain itu, ia juga diberikan skrin sesentuh OLED diameter 9.4-inci dijanakan oleh MINI Operating System 9, dengan membawakan MINI Experience Modes Also termasuk akses selesa, pakej cermin luaran dan dalaman serta pilihan mod pemanduan, bersama cermin pandang belakang anti silau dan cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX.
Bagi sistem bantuan dan keselamatan, ia diberikan amaran ketibaan lorong dan amaran menukar lorong, amaran pelanggaran hadapan, amaran trafik lintasan belakang, kawalan kelajuan aktif dengan fungsi stop-and-go, bantuan kawalan lorong, bantuan pengehad kelajuan, bantuan parkir tambahan dan bantuan mengundur serta Remote 3D View.
MINI Cooper S 5-Door ini dijangka ditawarkan pada harga dari RM293,000, dengan Waranti Lanjutan MINI dan Pakej Servis dianggarkan lebih kurang RM10,400, dengan jumlah keseluruhan mencecah RM303,400, menurut BMW Group Malaysia.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.