Sistem amaran awal banjir Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) berada dalam keadaan baik dan masih berkesan dalam mengenal pasti potensi terjadinya bencana tersebut, kata menteri sumber asli dan kelestarian alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam laporan The Star.
“MetMalaysia dalam kenyataannya pada 19 November lalu, menjangkakan luruan monsun kuat, menyebabkan hujan lebat akan berlaku di Pantai Timur. Betul, kita tak menjangkakan hujan ekstrem seperti yang berlaku pada 2014 (ketika luruan monsun kali ini). Namun, apabila berlaku (taburan hujan), ia ekstrem seperti 2014,” kata beliau semasa sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 semalam.
“Mereka (MetMalaysia) memiliki pengikut cukup ramai di Facebook (FB), Instagram (IG), X dan YouTube. Namun, mungkin generasi muda ramai (menggunakan) TikTok dan mereka tak boleh letakkan mesej sama seperti di FB atau IG.
“Justeru, saya dalam pertemuan bersama MetMalaysia pagi tadi, minta mereka ambil perhatian mengenai pendekatan menerangkan atau penyampaian mesej cuaca dengan lebih baik kepada orang ramai,” tambah Nazmi.
MetMalaysia juga diberitahu bekerjasama terus dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan memberikan nasihat dan pandangan dalam menguruskan bencana, sementara projek tebatan banjir kendalian MetMalaysia tidak membabitkan pembinaan infrastruktur yang dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) – ia bagaimanapun diselia oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
Menteri itu juga mendedahkan bahawa MetMalaysia kini menggunakan sistem komputer prestasi tinggi untuk meningkatkan keupayaan model ramalan cuaca supaya risiko bencana tersebut dapat dilihat seawal 14 hari, berbanding tujuh hari sebelum ini.
“Ia adalah antara input utama bagi model ramalan banjir negara dibangunkan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara, meliputi sistem amaran awal bencana lain seperti kejadian kepala air, tanah runtuh dan gelombang haba.
“Pembangunan sistem ini penting dan menjadi antara sasaran utama dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030, meliputi sistem rangkaian pencerapan radar di Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah bagi memantau keadaan cuaca supaya dapat dilakukan lebih teliti dan menyeluruh,” kata beliau.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.