Ketika berlangsungnya Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024 yang akan bermula esok (dibuka kepada media terlebih dahulu hari ini), Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) bakal mendedahkan barisan aksesori tulen untuk dua model baharunya iaitu trak pikap Triton generasi baharu dan juga versi facelift untuk MPV tujuh-tempat duduk Xpander.
Kesemua aksesori ini masih belum mula dijual dan belum diumumkan sebarang harga, dan menurut MMM ia terlebih dahulu ditunjukkan pada orang ramai bagi membolehkan mereka melihat depan mata komponen yang bakal dilancarkan tersebut, dan mengetahui pelbagai informasi menerusi pakar-pakar produk yang berada di reruai itu berkenaan bagaimana untuk menjadikan kenderaan Mitsubishi masing-masing lebih baik.
Untuk Xpander, aksesori luaran yang ditawarkan adalah termasuk kemasan krom untuk tip ekzos, pelindung penutup tangki bahan api, emblem ‘Xpander’ untuk penutup bonet hadapan serta kit badan yang merangkumi spoiler bawah bampar hadapan, skirt sisi dan kemasan diffuser lebih labuh bawah bampar belakang.
Ia juga diberikan beberapa aksesori dalaman termasuk pad pengecas telefon pintar tanpa wayar dan juga tray untuk ruang but belakang.
Manakala untuk Triton, ia menampilkan aksesori termasuk sports bar untuk bed belakang, yang bina sekali bersama rel sisi pada bahagian tersebut. Selain itu ia juga dipadankan dengan aksesori lain seperti sistem bantuan tailgate, visor pintu, scuff plate LED bernyala, perapi sisi pintu, pengunci tayar gantian dan pelindung pembuka pintu.
Jadi sekiranya anda berminat untuk melihat aksesori-akseori yang belum berada dalam pasaran ini, datanglah ke reruai Mitsubishi Motors Malaysia di KLIMS yang akan berlangsung sehingga hujung minggu ini.
GALERI: Mitsubishi Xpander facelift 2024 dengan aksesori asli
GALERI: Mitsubishi Triton 2024 dengan aksesori asli
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.