Honda bukan setakat mengeluarkan kereta dan kemampuan syarikat itu dalam bidang pengangkutan ditunjukkan di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024. Selain kereta, anda juga boleh melihat motosikal kompak serta kapal udara di kawasan pameran pengeluar Jepun itu.
Sementara kami sudah buatkan laporan khas untuk Prelude Concept, di sini kami tampilkan pula dua lagi jentera unik, bermula dengan Motocompacto. Ia boleh dianggap sebagai versi moden kepada skuter boleh lipat 50 cc, Motocompo keluaran tahun 80-an, yang boleh dipakejkan sekali dalam but kereta Honda City generasi pertama.
Memandangkan ia adalah sebuah jentera moden, Motocompacto menggunakan kuasa elektrik dan mampu menghasilkan tork sehingga 16 Nm untuk disampaikan kepada roda kecilnya. Bateri 6.8 Ah yang digunakan pada motosikal boleh lipat ini mampu memberikan jarak gerak sehingga 20 km dan ia boleh dicas dalam masa 3.5 jam.
Walaupun nampak kecil seperti beg apabila dilipat, Motocompacto masih mempunyai kelengkapan utama sebuah motosikal termasuk lampu depan dan belakang LED, tongkat tepi, ruang simpanan, penunjuk tahap bateri serta meter digital. Di Amerika Syarikat, Motocompacto dijual pada harga US$995 (RM4,420), tetapi di sini ia masih belum dijual. Walaubagaimanapun, anda boleh mencubanya sendiri di KLIMS 2024.
Tapi untuk eVTOL, ia cuma diletakkan sebagai pameran, dengan latar belakang langit di Kuala Lumpur untuk memberikan anda bayangan keadaan apabila ia beroperasi. Ia nampak seperti model yang diperkenalkan pada tahun 2021, mempunyai bateri kecil, sekaligus mengehadkan penggunaannya kepada di dalam bandar sahaja. Sebagai bantuan, ia juga dilengkapi turbin gas serta converter AC/DC untuk memberikan perjalanan sehingga 400 km.
GALERI: Honda eVTOL di KLIMS 2024
GALERI: Honda Motocompacto di KLIMS 2024
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.