Honda Prelude Concept muncul di KLIMS 2024 – penampilan pertama dalam Asia selain Jepun

Honda Prelude Concept muncul di KLIMS 2024 – penampilan pertama dalam Asia selain Jepun

Honda Malaysia antara pengeluar yang dilihat sangat serius dalam penampilannya di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) tahun ini. Selain membawa SUV EV e:N1 yang bakal dilancarkan di sini tahun hadapan, ‘kereta terbang’ eVTOL, dan juga skuter elektrik boleh lipat Motocompacto, syarikat itu juga membawa model konsep Honda Prelude generasi baharu yang bakal muncul dalam versi produksi tak lama lagi.

Ini merupakan penampilan pertama Honda Prelude Concept tersebut di Asia selain dari Jepun. Malah unit berwarna merah yang dipamerkan di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) ini juga berbeza dengan yang muncul di Japan Mobility Show tahun lalu, dan ia mungkin unit sama yang dibawa ke Eropah menerusi acara Goodwood Festival of Speed pada Julai 2024.

Honda masih belum mengumumkan sebarang perincian teknikal berkenaan Prelude generasi baharu ini, dan cuma mendedahkan bahawa ia akan digerakkan oleh unit rangkaian kuasa hibrid elektrik, dan bakal memberikan “keseronokan memandu”. Namun berdasarkan rupanya, Prelude generasi baharu ini seakan dihasilkan menggunakan asas yang sama seperti Honda Civic generasi ke-11 dalam versi coupe dua-pintu serta muka hadapan dan belakang berlainan.

Honda Prelude Concept muncul di KLIMS 2024 – penampilan pertama dalam Asia selain Jepun

Jadi tidak mustahil ia dibina berasaskan platform yang sama dan bakal berkongsi unit rangkaian kuasa hibrid sama seperti Civic, dalam kes ini ia mungkin akan menerima padanan enjin dua liter dan juga sistem hibrid i-MMD dengan dua motor elektrik sama seperti Civic Hybrid e:HEV.

Dalam laporan sebelum ini ketua jurutera dan ketua projek utama Honda, Tomoyuki Yamagami ada menjelaskan bahawa Prelude merupakan coupe dua-pintu global yang diberikan tempat duduk belakang, dan ia bukanlah model yang fokus terhadap prestasi di litar seperti Honda Civic Type R mahupun Acura Integra Type S.

Jadi nampaknya Prelude mungkin akan mengisi ruang yang ditinggalkan oleh Honda CR-Z, yang sebelum ini merupakan hatchback hibrid yang memberikan prestasi pemanduan sporty. Unit rangkaian kuasa hibrid i-MMD yang digunakan oleh Civic juga dilihat berpotensi memberikan prestasi sedemikian.

Honda Prelude Concept muncul di KLIMS 2024 – penampilan pertama dalam Asia selain Jepun

Menerusi sistem tersebut, enjin 2.0 liter i-VTEC yang dibekalkan secara kebanyakkan masa hanya berfungsi untuk mengecas bateri hibrid. Sementara roda hadapan dipacu secara primari oleh motor elektrik berkuasa 181 hp dan tork maksima 315 Nm. Malah untuk pasaran Amerika Syarikat, motor tersebut dibekalkan dengan kuasa lebih besar iaitu 200 hp.

Apa pun kita perlu tunggu perincian sebenar dari Honda yang mungkin akan diumumkan tahun depan. Namun apa yang penting Honda telah mengesahkan Prelude generasi baharu ini adalah model global yang akan dijual di seluruh dunia. Jadi dengan kemunculan versi konsep ini di Malaysia, ada kemungkinan model berkenaan turut akan dijual di Malaysia kelak.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required