Seperti yang diuar-uarkan sebelum ini, Dinamikjaya Motors selaku pengedar rasmi kenderaan Kia di Malaysia telah pun melancarkan Kia Sportage 2025 menerusi Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2024 yang bakal membuka tirainya esok di MITEC KL. Barisan Sportage 2025 ditawarkan dengan empat varian bersama dua pilihan enjin iaitu 2.0G 2WD yang berharga atas jalan RM147,218.60 tanpa insurans, 2.0G 2WD High berharga RM157,218.60, 1.6T 2WD High berharga RM176,899 dan model tertinggi 1.6T AWD Hi pula berharga RM186,899.
Ditawarkan sebagai unit pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di kilang Inokom di Kulim, Kedah, Sportage 2025 ini merupakan generasi kelima (NQ5) dalam versi sebelum facelift terbarunya, yang hanya telah dilancarkan secara eksklusif untuk Korea Selatan sahaja ketika ini. Malahan pasaran Indonesia dan Thailand juga belum menerima kehadirannya setakat ini.
Barisan Sportage 2025 ini memiliki dimensi berukuran 4,660 mm panjang, 1,865 mm lebar, 1,660 mm tinggi dan 2,755 mm bagi jarak roda, manakala jarak kelegaan tanahnya (ground clearance) pula mencecah 181 mm.
Bagi varian 2.0 dan 2.0 High, ia diberikan enjin Smartstream 2.0L MPI empat-silinder sebaris DOHC D-CVVT yang dengan hamburan kuasa 154 hp pada 6,200 rpm dan tork 192 Nm pada 4,500 rpm. Digandingkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan, membolehkannya mencapai kelajuan maksimum hingga 181 km/j dan penggunaan bahan api didakwa sekitar 7.5 liter bagi setiap 100 km.
Manakala bagi varian 1.6T High dan 1.6T High AWD, ia menerima penjana kuasa Gamma II 1.6 T-GDI empat-silinder sebaris D-CVVT dengan output mencecah 177 hp pada 5,500 rpm dan tork 265 Nm antara 1,500 hingga 4,500 rpm. Ia juga diberikan transmisi DCT e-Shift tujuh-kelajuan, dan mampu mencapai kelajuan maksimum hingga 201 km/j. Kia mendakwa, penggunaan bahan apinya lebih menjimatkan iaitu sekitar 6.3 liter bagi setiap 100 km.
Kesemua varian Sportage 2025 ini diberikan sistem suspensi topang MacPherson untuk bahagian hadapan dan Multi-Link di belakang. Manakala untuk sistem breknya, ia menerima ventilated disc untuk hadapan dan solid disc di belakang.
Bagi imej luarannya, wajah hadapannya nampak agresif dengan penampilan lampu utama dengan jaluran ala boomerang bersama gril radiator yang lebih besar. Untuk model asas, ia digandingkan bersama gril radiator dan bampar hadapan serta belakang dengan material hitam. Manakala tiga varian tertinggi lebih ranggi bersama gril radiator dan bampar hadapan serta belakang ditampilkan material piano black bersama kemasan krom satin.
Sisi agresif juga ditampilkan pada bahagian belakang yang dilengkapi dengan antena shark fin dan spoiler. Untuk rim pula, ia diberikan unit aloi 17-inci dibaluti tayar profil 235/65 R17 untuk kedua-dua varian enjin 2.0, manakala bagi versi 1.6T pula menerima aloi 18-inci bersama tayar profil 235/60 R18.
Untuk ruang kabinnya, kemasan papan pemuka pula tidaklah begitu sarat dan tidak menampakkan sifat futuristik walau pun masih kekal bergaya> Ia diberikan material lembut dengan rona hitam untuk varian asas, manakala varian selebihnya menerima kemasan piano black.
Antara ciri kelengkapan yang diberikan termasuklah butang penghidup enjin, Brek Parkir Elektronik (EPB), cermin pandang belakang dengan fungsi auto-kelam, suis pemilihan mod pemanduan, pendingin hawa dwi-zon automatik dengan corong udara di belakang, pencahayaan dalaman, sistem infotainmen dengan pengesan suara bersama skrin sesentuh lapan-inci, Apple CarPlay dan Android Auto dan kamera undur dengan Paparan Pandangan Sekeliling (SVM).
Bagi aspek keselamatan pula, kesemua varian menerima enam beg udara, ABS, Kawalan kestabilan Elektronik (ESC), Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HAC), Fungsi Menahan Auto, Amaran pemakaian tali pinggang keledar, Amaran keluar selamat, cagak Isofix, sistem pemantauan tekanan tayar, Kawalan Brek Menurun Bukit (DBC) dan Kawalan Kelajuan.
Manakala tiga varian teratas menerima kelengkapan teknologi keselamatan termaju yang merangkumi Bantuan Lampu Tinggi (HBA), Amaran Pelanggaran Titik Buta (BCW), Bantuan Mengelak Pelanggaran Titik Buta, Bantuan Mengelak Pelanggaran Trafik Lintasan Belakang (RCCA), Bantuan Kekal Lorong (LKA), Amaran Perhatian Pemandu (DAW, Bantuan Mengelak Pelanggaran Hadapan (FCA), Bantuan Mengikut Lorong (LFA) dan Kawalan Kelajuan Pintar (SCC) dengan fungsi Stop & Go.
Harga atas jalan bagi 2.0G 2WD ialah RM147,218.60 tanpa insurans, 2.0G 2WD High berharga RM157,218.60, 1.6T 2WD High berharga RM176,899 dan model tertinggi 1.6T AWD Hi pula berharga RM186,899. Ia juga didatangkan dengan waranti lima-tahun atau 100,000 km dan pakej servis. Untuk yang berminat memilikinya, tempahannya telah pun dibuka sekarang.
Berikut merupakan spesifikasi penuh bagi setiap varian:
Sportage 2.0
-
Mekanikal:
- Smartstream 2.0L MPI empat-silinder sebaris DOHC D-CVVT
- 154 hp pada 6,200 rpm dan tork 192 Nm pada 4,500 rpm
- Kotak gear automatik enam-kelajuan
- Lampu utama LED
- lampu nyalaan siang (DRL) LED
- Lampu belakang kombinasi LED & jenis mentol
- Lampu kabus jenis mentol
- Penderia hujan pada cermin hadapan
- Kemasukan tanpa kunci pintar
- Tailgate bukaan manual
- 4 unit penderia belakang
- Butang penghidup enjin
- Brek Parkir Elektronik (EPB)
- Roda stereng material urethene dengan fungsi kawalan audio dan bluetooth bebas tangan
- Cermin pandang belakang dengan fungsi auto-kelam
- Kluster instrumen LCD TFT 4.2-inci
- Suis pemilihan mod pemanduan
- Pendingin hawa dwi-zon automatik dengan corong udara di belakang
- Dua unit port kuasa 12-voltan
- Pencahayaan dalaman
- Tempat duduk balutan fabrik dengan 6-cara larasan manual untuk tempat duduk pemandu dan 4-cara larasan manual untuk penumpang hadapan
- Sistem infotainmen dengan pengesan suara bersama skrin sesentuh 8-inci
- Apple CarPlay dan Android Auto
- Dua unit port USB
- Kamera undur dengan Paparan Pandangan Sekeliling (SVM)
- 6 beg udara
- ABS
- Kawalan kestabilan Elektronik (ESC)
- Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HAC)
- Fungsi Menahan Auto
- Amaran pemakaian tali pinggang keledar
- Amaran keluar selamat
- Cagak Isofix
- Sistem pemantauan tekanan tayar
- Kawalan Brek Menurun Bukit (DBC)
- Kawalan Kelajuan Pasif
Luaran:
Dalaman:
Ciri keselamatan:
Sportage 2.0 High
Luaran:
Dalaman:
Ciri teknologi keselamatan termaju:
Sportage 1.6T High
Mekanikal:
Luaran:
Dalaman:
Ciri teknologi keselamatan termaju:
Sportage 1.6T High AWD
Luaran:
Dalaman:
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.