Bermaz Motor telah melancarkan pakej MS Limited Edition baharu untuk Mazda CX-5 bagi meningkatkan penggayaan yang lebih estetika dan menaikkan prestasi SUV ini. Pakej ini ditawarkan pada harga RM12,000 dan diberikan waranti setahun, dan ia boleh ditempah bermula hari ini dan akan tiba pada tahun 2025.
Bagi perubahan visualnya, pakej MS Limited Edition memperkenalkan kemasan hitam berkilat untuk gril, bampar, cermin sisi, sekeliling gerbang roda dan panel rocker. Roda 19-inci juga dalam kemasan yang sama dengan spoiler bumbung yang sama dengan warna badan serta kemasan ekzos dengan perkataan ‘MS’.
Bagi yang mungkin tidak tahu, ‘MS’ bermaksud Mazdasports, terma jenama yang digunakan oleh syarikat ini terhadap beberapa modelnya bagi menggambarkan rekaan yang lebih sporty.
Untuk bahagian dalamnya, suede upholstery digunakan bagi tempat duduk CX-5 MS ini, juga pada panel pintu, roda stereng dan gear shift boot. Jahitan merah pula kelihatan pada beberapa bahagian kabin, termasuk pada roda stereng, kemasan pintu, tempat duduk dan konsol tengah.
Sentuhan kemasan lain termasuk alas lantai bersulam, butang penghidup enjin merah, pedal sport dan lencana ‘MS Limited Edition’ yang terpampang di bahagian papan pemuka. Manakala untuk prestasi pula, penambahbaikan yang dilakukan adalah dengan adanya palang topang hadapan bersama lencana ‘MS’ di atasnya.
Pakej MS Limited Edition boleh dibeli dengan mana-mana varian CX-5, yang ditawarkan dengan lima pilihan, serta harga atas jalan antara RM144,469.20 dan RM188,760.40 tanpa insurans.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.