Selain pelancaran Kicks e-Power, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) turut mempertontonkan model e-Power berikutnya untuk pasaran Malaysia di KLIMS 2024 — model yang dimaksudkan ialah Nissan X-Trail generasi keempat.
Tiba di sini empat tahun selepas ditunjukkan di AS (sebagai Rogue), SUV segmen C tujuh-tempat duduk ini akan membawakan penambahbaikan besar dan kesegaran bagi model semasa di pasaran sini. Perincian model SUV terbaru ini untuk pasaran tempatan masih belum didedahkan, tetapi jangkaan kami adalah ia akan dilancarkan pada tahun depan.
Kuasanya dijana oleh motor elektrik yang menghasilkan sebanyak 204 PS (150 kW) dan 330 Nm tork. Enjin pula menggunakan unit yang lebih besar berbanding Kicks, iaitu enjin 1.5 liter KR15DDT turbocas tiga-silinder dengan teknologi variable-compression (VC-Turbo). Ia menggunakan siri sambungan boleh ubah yang kompleks ke bahagian top dead centre (TDC) dan bottom dead centre (BDC) omboh, dan memberikan kawalan lebih baik terhadap kuasa dan kecekapan.
Enjin berkenaan menghasilkan 158 PS pada 4,600 rpm dan 250 Nm tork dari 2,400 hingga 4,400 rpm, yang digunakan sepenuhnya untuk motor elektrik dan bateri 2.1 kWh. Ini membolehkan X-Trail memecut dari 0-100 km/j dalam masa lapan saat untuk mencapai laju maksimum 170 km/j, manakala kadar penggunaan minyak ialah 5.8 liter per 100 km.
Dari luaran, X-Trail diberikan lampu utama LED terpisah, gril V-motion yang besar, bumbung hitam pilihan serta lampu belakang dengan grafik bentuk C. Suasana moden turut boleh dilihat di dalam, dengan rekaan papan pemuka bentuk sayap, konsol tengan yang lebar dan skrin sentuh apung untuk infotainmen.
Unit yang dipamer ini dibawa dari Singapura. Dari apa yang boleh dilihat, ia dilengkapi dengan rim 19-inci dua-tona, paparan instrumen dan infotainmen 12.3-inci, head-up display 10.8-inci, sistem bunyi Bose dengan 10-pembesar suara, kawalan melayar adaptif serta sistem pacuan semua roda e-4orce.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.