Perkenalkan, Perodua Ativa Fuze, sebuah kereta konsep yang dibangunkan khusus untuk Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2024. Fuze adalah singkatan kepada “Futuristic Urban Zen Experience”, ia mencerminkan sebuah rekaan masa depan untuk persekitaran urban.
Berbanding Ativa biasa, antara modifikasi yang dilakukan terhadap Fuze termasuklah rekaan wajah depan yang baru dengan adanya gril honeycomb beserta adanya jalur bersambung ke logo Perodua dengan pencahayaan. Lampu kabus yang bulat telah diganti dengan elemen “X”, disertai juga dengan jalur lampu di bahagian bawah bampar.
Ada juga corak khusus yang diberikan di bahagian atas bukaan udara yang turut digunakan di tiang C. Dari sisi, lengkung tayarnya menggunakan dua tona warna, dengan rim gaya cakera, serta diiringi lencana nama Fuze dengan banyak elemen lampu di sekitar panelnya.
Di belakang, lampu belakang gelap digantikan dengan versi cerah dan jelas, dan kini ada jalur lampu di kedua-dua sisi logo Perodua di belakang. Bampar belakang yang lebih menonjol turut menempatkan corak sama yang ada di tiang C, dengan jalur lampu yang sama seperti di depan seperti di bampar depan. Tidak lupa, ada jalur lampu di bahagian bumbung juga.
Di dalam, Perodua meletakkan Sony PlayStation 5 dalam bahagian but Ativa Fuze. Ini disambungkan dan dipaparkan di bahagian belakang kerusi depan, setiap satunya dengan controller individu sendiri.
Head unit standard juga digantikan dengan sistem yang lebih besar, yang kelihatannya menggunakan asas Android, sementara roda stereng lebih sporty diberikan serta lampu ambient yang ketara. Ada juga sentuhan warna Jalur Gemilang dalam bentuk jalur di bahagian pemegang pintu serta kerusi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.