Selain dari pelancaran X50 Sports Edition, Proton hari ini turut mendedahkan sebuah S70 dengan rupa jauh lebih sporty dari model asal. Namun model ini masih lagi dalam peringkat konsep dan digelar sebagai S70 Concept. Walaupun menampilkan rupa yang sangat garang, Proton nampaknya masih belum memberikan lencana sayap perlumbaan rasminya iaitu R3 pada versi konsep ini.
S70 Concept ini menampilkan kit badan berbeza berbanding kit yang sudah dipadankan model produksi sedia ada. Spoiler hadapannya di reka dengan lebih agresif menampilkan bahagian ‘sayap’ yang lebih lebar dan labuh serta mempunyai sepasang ‘kaki’ pada bahagian tengah.
Skirt sisi juga menerima ‘sayap’ yang seakan-akan menerima aliran udara dari spoiler hadapan, dan ia diteruskan ke diffuser belakang yang lebih agresif. Walau bagaimanapun, masih tiada ruang diberikan untuk menonjolkan dua tip ekzos pada pada bahagian belakang sedan ini.
Pada bahagian but, S70 Concept ini menerima spoiler GT bersaiz besar dengan sudut sayap yang boleh di laras. Keseluruhan badan S70 ini dibalut dengan warna kuning dengan bumbung hitam, bersama jalur badan berkembar bermula dari bonet hadapan hingga but belakang.
Manakala keseluruhan gril bersama logo ‘Thundercats’ hadapan telah digelapkan, begitu juga dengan cermin sisi yang menerima kemasan hitam. Akhir sekali model konsep ini menerima rim aloi 18-inci kemasan hitam berkilat yang dibalut dengan tayar Bridgestone Potenza RE004 bersaiz 235/40R18. Stance kereta ini juga nampak gagah menerusi badan yang telah direndahkan.
Proton tidak mendedahkan sebarang perincian berkenaan model konsep ini – sama ada ia akan dijual sebagai model edisi khas atau prebiu untuk aksesori S70 yang akan ditawarkan pada masa akan datang. Namun sebelum ini Proton ada membayangkan bahawa ia akan menawarkan S70 dengan talaan prestasi lebih tinggi dilekat dengan lencana R3 selepas kemunculan semula pasukan lumba berkenaan dalam saingan perlumbaan Sepang 1000KM tahun ini.
Kereta lumba berkenaan turut dipamerkan bersebelahan S70 Concept ini, dalam keadaan sama selepas ia menamatkan S1K 2024 ditempat ke-5 dalam kelas MTC dua minggu lalu, dengan pelbagai ‘battle scars’ di sekeliling badan.
Mungkin S70 Concept ini merupakan bayangan model prestasi jalan raya S70 R3 yang diperkatakan sebelum ini?
Proton S70 Concept
Jentera lumba Proton S70 R3 S1K #82
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.