Bersempena dengan Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024 yang baru bermula hari ini, Proton mendedahkan X50 Sport Edition, dengan membawa penampilan yang lebih sporty bagi SUV segmen B tersebut.
Kit badan yang diberikan pada model ini terdiri daripada splitter hadapan, side skirt dan tambahan panel pada bampar belakang, dan ia nampak berbeza dengan X50 R3 sebelum ini kerana diberikan sentuhan merah termasuk pada bahagian tepi pintu dan gril.
Menjadikan SUV ini lebih garang adalah penggunaan warna serba gelap pada kebanyakan bahagian termasuk kemasan pada pintu but (biasanya berwarna krom satin) serta rim 18 inci yang diambil daripada Geely Binyue varian bawah. Melengkapkan penampilannya adalah lencana Sport Edition di bahagian belakang dan ia juga diberikan plet tepi pintu, pengacas Qi tanpa wayar, alas kaki baru serta dulang barangan di belakang.
X50 Sport Edition ini menggunakan asas daripada model Premium, yang membawa makna ia menggunakan enjin tiga silinder 1.5 liter turbo, digandingkan bersama transmisi klac berkembar tujuh kelajuan, menghasilkan kuasa 150 PS dan tork 226 Nm. Sistem bantuan seperti Autonomous Emergency Braking, Adaptive Cruise Control dan Lane Centring Assist yang ada pada varian Flagship tiada pada X50 Sport Edition ini.
Setakat ini Proton cuma memberitahu mereka akan menjual X50 Sport Edition ini kepada awam, tetapi masih belum diketahui sama ada keluarannya adalah terhad dan harga juga masih belum ada. Jangkaan harganya sudah tentu sedikit mahal berbanding X50 Premium yang dijual pada RM101,800.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.