Toyota Camry 2025 dilancarkan di Malaysia – hibrid 2.5 HEV, kuasa 230 PS, jarak gerak 1,250 km, RM248,800

Toyota Camry 2025 dilancarkan di Malaysia – hibrid 2.5 HEV, kuasa 230 PS, jarak gerak 1,250 km, RM248,800

UMW Toyota Motor melancarkan Toyota Camry 2025 di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024. Model generasi kesembilan yang menggunakan asas TNGA ini datang dalam satu varian hibrid 2.5 HEV sahaja, dijual pada harga RM248,800 tidak termasuk insurans, diimport penuh (CBU) dari Thailand.

Menggerakkan Camry baru ini adalah enjin empat silinder 2.5 liter Dynamic Force A25A-FXS 186 PS/221 Nm, yang digabungkan bersama motor permanent magnet synchronous 136 PS/208 Nm, bateri lithium-ion serta transmisi eCVT untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 230 PS dan jarak gerak keseluruhan 1,250 km.

Muka hadapan baru Camry ini dipanggil oleh Toyota sebagai ‘Hammerhead’, dengan melibatkan rekaan gril atas nipis dan bukaan udara bawah lebar, menghasilkan rupa yang moden dan agresif, sementara sirip di tepi bampar membantu mengurangkan pergolakan angin. Rim menggunakan unit 18 inci, dibalut tayar Bridgestone Turanza 235/45 dan tayar gantian yang lebih kecil disediakan di dalam but.

Masuk ke dalam anda akan melihat bumbung panoramik yang terbahagi dua, tempat duduk hadapan berliang udara, skrin sesentuh 12.3 inci dengan sambungan Android Auto/Apple CarPlay, panel instrumen 12.3 inci dan head-up display. Roda stereng boleh dilaras atas/bawah dan hadapan/belakang, sementara tempat duduk pemandu boleh dilaras secara elektrik dan datang dengan fungsi memori.

Sedan segmen D ini juga dilengkapi dengan sembilan pembesar suara JBL (bersama subwoofer dan amplifier), sistem kawalan fungsi suara Voice Agent, pendingin hawa automatik tiga zon, pengecas tanpa wayar 15W, soket pengecas USB-C, tempat duduk belakang boleh sandar secara elektrik, penghadang cahaya cermin belakang dan suis untuk melaras tempat duduk kiri hadapan di bahagian tepi.

Untuk sistem keselamatan, kereta ini disediakan dengan tujuh beg udara, pemerhati panoramik, dan Toyota Safety Sense 3.0 yang termasuk AEB, ACC, Lane Departure Alert, Lane Tracing Assist, Road Sign Assist, Auto High Beam, Safe Exit Assist dan Blind Spot Monitor. Anda juga akan menerima sistem telematik, perakam video hadapan dan belakang serta penapis haba cermin.

Warna yang ditawarkan untuk Camry baru ini adalah Cement Grey, Dark Blue Mica, Precious Metal, Emotional Red, Platinum White Pearl dan Attitude Black. Setiap pembelian datang dengan jaminan kenderaan lima tahun tanpa had batuan, serta jaminan lapan tahun tanpa had batuan untuk sistem hibrid yang termasuk bateri, inverter serta unit kawalan pengurusan kuasanya. Pelanggan juga boleh melanjutkan jaminan hibrid ini kepada 10 tahun dengan bayaran tambahan RM3,500.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 

Comments

 

Add a comment

required

required