Menyertai MG3 Hybrid+ di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS)ialah MG ZS Hybrid+, yang dipertontonkan menjelang pelancarannya di pasaran tempatan kelak. Generasi kedua bagi SUV segmen-B jenama British (yang dimiliki China), melengkapkan versi elektrik generasi pertama yang dilancarkan di Malaysia pada Mac.
Untuk generasi baharu ini, ada pertambahan saiz yang signifikan, di mana ZS terkini ini bersaiz 100 mm lebih panjang (4,430 mm), sembilan milimeter lebih lebar (1,818 mm) tetapi 14 mm lebih rendah (1,635 mm) serta 29 mm lebih panjang bagi jarak rodanya berbanding model sebelumnya. Ia juga diberikan rekaan yang lebih senada dengan HS yang lebih besar.
Di mana garisan tingkapnya lebih melunjur ke hadapan, ditampilkan pula fender belakang yang lebih menonjol dan hujung belakang dengan gaya ala BMW X1 F48, hampir sama dengan HS yang original. Walau bagaimana pun, hujung hadpaannya pula diilhamkan dari model MG3, termasuk lampu utama yang lebih nipis, gril segi lapan yang lebih besar dan salur sudut berbentuk-L. Model yang dipertontonkan di KLIMS ini juga digandingkan dengan roda aloi dua-tona Sabre 18-inci.
Bahagian dalamannya juga telah dipertingkatkan secara menyeluruh, dengan papan pemuka yang jauh lebih moden bersama corong udara trapezoid dan konsol tengah minimalis dengan pemilih gear. Ia juga diberikan paparan instrumen digital tujuh-inci dan juga skrin sesentuh infotainmen 12.3-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto.
Ciri kelengkapan lain yang turut diberikan termasuklah tempat duduk pemandu larasan kuasa enam-cara, upholstery kulit, pengecas tanpa wayar Qi, ketersambungan aplikasi MG iSmart, sistem kamera 360-darjah dan enam pembesar suara. Ia juga dilengkapi bantuan pemandu termasuk brek kecemasan autonomous, kawalan kelajuan adaptif, bantuan pemusatan lorong dan pemantauan titik buta.
Di bawah bonetnya terletak enjin 1.5 liter naturally-aspirated empat-silinder 102 PS/128 N, yang digandingkan motor elektrik 136 PS/250 Nm, transmisi hibrid tiga-kelajuan dan bateri 1.83 kWh, menghasilkan keseluruhan kuasa mencecah 196 PS dan tork 465 Nm. Ia membolehkan ZF dipecut dari 0-100/km dalam 8.7 saat, dan penggunaan bahan apinya sekitar 5.1 liter bagi setiap 100 km mengikut kitaran WLTP.
Memandangkan 2024 bakal melabuhkan tirainya tidak lama lagi, maka ZS baharu ini akan dilancarkan bersama MG3 pada tahun hadapan. Ada perkhabaran menyatakan bahawa SAIC Motor Malaysia merancang untuk melaksanakan pengeluaran tempatan (CKD), adakah kebarangkalian boleh mendorong harganya menjadi lebih kompetitof dan mampu bersaing dengan Honda HR-V dan Toyota Corolla Cross?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.