Selain Xpander, Mitsubishi juga membawa sebuah Triton yang diubah suai khas untuk pameran Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024. Ia dihasilkan untuk memberi inspirasi kepada pemilik jika mereka mahu mengubah suai kenderaan sendiri.
Sama seperti Xpander putih di sebelahnya, Triton Athlete warna Yamabuki Orange ini juga menggunakan kit badan daripada D Mod, yang termasuk spoiler hadapan dengan lampu LED, pelindung badan di bahagian tepi, panel tambahan pada bampar belakang serta panel hiasan di pintu ruang barang belakang. Semua bahagian ini, bersama gril hadapannya dicat hitam, memberi kontras kepada badannya.
Aksesori lain yang dipasang adalah termasuk panel tambahan atas bumbung dan sports bar, serta rim Enkei Tuning SC59 yang dibalut tayar Yokohama Geolandar A/T G015. Di dalam anda akan nampak balutan kulit hitam/merah dengan corak berpetak di bahagian penyandar badan, serta jahitan merah pada papan pemuka dan tepi pintu.
Tiada perubahan dibuat pada bahagian mekanikal, bermakna Triton Athlete ini dipacu oleh enjin diesel empat silinder 2.4 liter turbo 4N16 yang digabungkan dengan transmisi automatik enam kelajuan dan sistem pacuan empat roda Easy Select, mampu menghasilkan kuasa 204 PS dan tork 470 Nm.
Melalui model Triton generasi sebelum ini, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) sudah menunjukkan mereka tiada masalah untuk menawarkan beberapa model ubah suai edisi terhad kepada pengguna dan ia harapnya boleh juga diteruskan pada model baru ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.