Semalam ketika berkunjung ke Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024, ada sebuah Xpander yang agak menarik perhatian kami diletakkan betul-betul di tengah-tengah reruai Mitsubishi Motors Malaysia (MMM).
Xpander berwarna putih berkenaan mengenakan kit badan keluaran pembuat aksesori tempatan iaitu D Mod Garage. Kit tersebut merangkumi penambahan panel bawah bampar hadapan, skirt sisi dan kemasan diffuser pada bahagian bawah bampar belakang bagi menampakkan Xpander ini lebih labuh ke bawah.
Ia turut disertai dengan kemasan-kemasan hitam pada kesemua ruang roda dan juga bahagian bawah pintu, bagi memberikan rupa seakan pelindung badan. Dan yang paling menonjol, Xpander ini turut dipadankan dengan set rim Rotiform AeroDics berdiameter 18-inci dan dibalut dengan tayar Yokohama Advan AD09, membuatkan ia kelihatan seperti sebuah jentera rali jalan raya.
Langsung tiada sebarang maklumat yang kami dapat dari MMM berkenaan Xpander tersebut. Namun tak lama selepas itu barulah kami tahu bahawa Xpander ini sebenarnya akan menjadi ‘kanvas lukisan’ untuk dua orang artis lukisan tempatan iaitu Nas Suha dan Izzati Suza menyiapkan hasil karya mereka.
Kedua-dua pelukis tersebut akan melukis secara langsung pada keseluruhan badan Xpander tersebut dan ia boleh disaksikan orang ramai ketika berlangsungnya KLIMS 2024 ini, dan dijangka akan siap sepenuhnya dalam masa tiga hari.
Jadi sekiranya anda nak lihat sendiri apa yang kami katakan ini, datanglah ke reruai Mitsubishi Motors Malaysia di KLIMS 2024 yang berlangsung bermula hari ini, 5 hingga 11 Disember di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.