Setelah dipertontonkan pada September lalu, akhirnya Omoda C9 yang dijual oleh Jaecoo ke pasaran tempatan, dilancarkan petang ini. ‘SUV coupe off-road premium’ yang berada dalam segmen-D ini ditawarkan dengan dua varian iaitu versi 2WD dengan harga atas jalan RM168,800 tanpa insurans manakala versi AWD dengan berharga RM188,800. Untuk pasaran Malaysia, ia merupakan model pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di kilang Chery di Shah Alam.
C9 ini memiliki dimensi berukuran 4,775 mm panjang, 1,920 mm lebar, 1,671mm tinggi dengan jarak roda 2,800 mm. Ketinggian dari permukaan tanahnya pula ialah 165 mm, dengan kemampuan meredah air setinggi 450 mm. Ruang but barangan di belakang mempunyai kapasiti antara 660 liter ke 1,783 liter. Walaupun ia SUV lima-tempat duduk, namun saiznya lebih besar berbanding Chery Tiggo 8 Pro yang hadir dengan tujuh-tempat duduk.
Bagi bahagian mekanikalnya, C9 dipacu oleh unit 2.0 TGDI petrol empat-silinder sebaris (sama dengan model Chery Tiggo 8 Pro) yang mampu menghamburkan 261 PS hp dan tork 400 Nm, dengan gandingan transmisi automatik lapan-kelajuan.
Bagi versi pacuan dua roda (2WD), ia disediakan tiga-mod pemanduan (Normal, Eco, Sport), manakala bagi pacuan semua roda (AWD) menawarkan tujuh-mod pemanduan (Normal,ECO,Sport, Sand, Mud, Snow, Off-Road) bagi kegunaan dalam bandar dan juga off-road. Ia diberikan tetapan sistem suspensi McPherson di hadapan dan multi-link di belakang, namun bagi memantapkan lagi pengendaliannya, C9 menerima penyerap adaptif, namun versi AWD menerima teknologi Continuous Damping Control (CDC) sebagai tambahan.
Daripada sudut penggayaan luaran, SUV ini memang cukup hensem dengan sentuhan ala futuristik. Ia menampilkan gril hadapan dengan rekaan matriks berlian bersama lampu nyalaan siang bentuk sigma dan juga pemegang pintu jenis ‘pop-out‘. Ia juga diberikan lampu hadapan adaptif LED, lampu belakang LED, pintu tailgate dengan fungsi penderia auto dan dilengkapi juga dengan cermin hadapan akustik yang mengurangkan tahap kebisingan di dalam kenderaan, kaliper merah untuk AWD (perak untuk 2WD) manakala rimnya pula bersaiz 20-inci dibaluti tayar Michelin e-Primacy bersaiz 245/50.
Untuk bahagian kabinnya pula, ia dibentangi sentuhan mewah dan sofistikated terutamanya jelas kelihatan pada bahagian papan pemukanya. Walau pun sekadar dengan penggayaan ala ringkas, namun kelengkapan yang diberikan berpadanan dengan harganya. Ini termasuklah dengan adanya skrin HD tunggal 24.6-inci, pengecas tanpa wayar Qi 50W, ruang pendingin untuk barangan di bahagian konsol tengah, stereng dengan paddle shifter, perakam video digital (DVR) terbina dalam, dan kamera pandangan sekeliling 540-darjah.
Selain itu, ia juga diberikan sistem audio Sony dengan 14-pembesar suara (8 unit untuk 2WD), kawalan pendingin tiga-zon, corong pendingin hawa pada tiang-B untuk tempat duduk belakang, tempat duduk balutan kulit premium, tempat duduk pemandu dengan larasan elektrik lapan-arah (enam- untuk 2WD) bersama enam fungsi memori, penyandar tempat duduk belakang dengan larasan kuasa elektrik dan kawalan kualiti udara.
Versi AWD juga diberikan stereng eksklusif balutan kulit larasan kuasa, sistem pewangi udara (yang menggunakan cartridge dengan tiga wangian berbeza yang boleh ditentukan melalui skrin sesentuh), pencahayaan ambien sisi pintu hadapan dan kusyen tempat duduk yang lebih gebu.
Bagi aspek keselamatan, Omoda C9 dilengkapi Sistem Bantuan Pemandu Lanjutan (ADAS) 2.5 dengan Pengesanan Titik Buta (BSD), Amaran Pembukaan Pintu (DOW), Amaran Keluar Lorong (LDW), Pencegahan Keluar Lorong (LDP), Bantuan Pertukaran Lorong (LCA) dan Bantuan Mengekalkan Lorong Kecemasan (ELKA).
Bukan itu sahaja, C9 turut diberikan ciri kawalan adaptif pintar, sistem pintar tanpa kunci dengan ciri NFC yang boleh dikunci secara automatik ketika pemandu menjauhi kenderaan. Untuk ketenangan fikiran tambahan, bahagian badan C9 diperbuat daripada 85% keluli kekuatan tinggi dan dilengkapi dengan lapan-beg udara.
Kedua-dua varian boleh didapati dalam tiga warna iaitu Khaki White, Carbon Crystal Black dan jika memilih Matte Grey, kos tambahan dikenakan sebanyak RM3,000. Sekali lagi, C9 ditawarkan dengan dua varian iaitu versi 2WD dengan harga atas jalan RM168,800 tanpa insurans manakala versi AWD dengan berharga RM188,800.
Ia turut disediakan bersama waranti tujuh-tahun atau jarak perjalanan sehingga 150,000km. Untuk pembeli terawal yang menempah C9 sehingga 31 Disember 2024, bakal menerima waranti 10-tahun atau 1,000,000 km untuk enjin dan suspensi. Oleh kerana Omoda C9 ini sebuah SUV premium, pelanggannya akan menghantar kenderaan untuk tujuan servis di pusat servis Jaecoo dan bukannya di pusat servis Chery.
GALERI: Omoda C9 2WD
GALERI: Omoda C9 AWD
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.