Proton umumkan syarikat itu telah menjual sebanyak 12,194 unit kenderaan sepanjang November 2024. Itu melibatkan penurunan sebanyak 4.7% (atau 605 unit) berbanding 12,799 unit yang dijual pada Oktober. Bagaimanapun, menurut Proton, penguncupan itu selari dengan pengurangan TIV sebanyak 4.1% bagi jualan automotif di Malaysia.
Jualan keseluruhan Proton bagi 11 bulan tahun ini ialah 137,751 unit, membolehkan syarikat itu mengekalkan kedudukan sebagai jenama nasional kedua paling popular. Syarikat itu menganggarkan perkongsian pasaran bulanan bagi Nov sebanyak 18.2%, dengan perkongsian pasaran tahunan setakat ini (YTD) ialah 18.8%.
Seperti biasa, Saga mendahului dengan jualan 5,916 unit sepanjang November, dengan YTD jualannya ialah 66,094 unit, dan dalam laluan yang betul untuk mencapai sasaran jualan keseluruhan 70,000 unit bagi tahun kedua berturut-turut.
Di tempat kedua ialah X50, dengan 1,911 unit terjual, menjadikannya SUV paling popular untuk Proton. Setakat November, sudah 21,033 unit terjual di Malaysia. Bagi X70 pula, jualannya meningkat 7.7% berbanding Oktober, dengan 1,065 unit terjual, menjadikan YTD-nya 7,536 unit.
X70 sebenarnya adalah model kelima popular bagi Proton, kerana di atasnya ada Persona dengan 1,394 unit terjual (YTD 17,325 unit) dan S70 dengan 1,312 unit (YTD, 17,512 unit) terjual sepanjang November. Iriz juga tidak ketinggalan, dengan 319 unit terjual, dan diikuti oleh X90 yang mencatatkan peningkatan 13.1% bagi November dengan 277 unit (YTD 3,246 unit).
Untuk pasaran eksport pula, jumlah terkumpul setakat ini ialah 3,652 unit berbanding 3,636 unit bagi tempoh sama tahun lalu. Sama seperti pasaran domestik, Saga mendahului jualan eksport dengan 2,203 unit — angka ini sudah melebihi eksport keseluruhan pada 2023. Ekport Saga pemanduan sebelah kiri ke Mesir bulan lalu ialah 480 unit, lebih tinggi berbanding Oktober dengan hanya 120 unit.
Angka eksport bagi 2025 dijangka akan bertambah dengan pembukaan kilang CKD baru di Mesir, dengan kereta CKD pertama dijangka keluar bulan ini dengan pengeluaran 1,400 unit bagi 2024. Ini akan meningkat kepada 5,000 unit tahun depan, dan Proton jangkakan akan menghantar sejumlah 16,000 pek CKD ke negara Afrika Utara dalam tempoh tiga tahun menjelang 2026 nanti.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.