Mitsubishi Motors Corporation (MMC) mengumumkan bahawa ia sekali lagi menggondol anugerah rekaan terbaik dalam Japan Car of The Year selepas trak pikap Triton menerima pengiktirafan tersebut dalam edisi 2024-2025 yang baru sahaja dimuktamadkan baru-baru ini. Ia merupakan kali kedua Mitsubishi menerima anugerah tersebut selepas model kei-car Delica Mini mencapai kejayaan yang sama bagi edisi tahun lalu.
Anugerah Japan Car of The Year kali ke-45 ini memilih model-model yang dijual di pasaran Jepun bermula 1 November 2023 sehingga 31 Oktober 2024. 10 model terbaik telah dipilih dan diumumkan pada 6 November, dan pemenang bagi setiap kategori telah diumumkan pada 5 Disember lalu.
Untuk Triton, rekaannya dipilih sebagai terbaik oleh juri kerana “menonjolkan imej kenderaan 4WD yang lasak serta mengispirasikan pelanggan untuk meneroka gaya hidup baharu”, kata MMC dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Model generasi baharu ini telah membuat kemunculan sulung globalnya di Thailand pada Julai 2023 dengan konsep rekaan baharu digelar sebagai ‘Beast Mode’. Ia tampil dengan muka hadapan Dynamic Shield yang berbeza dari generasi sebelumnya, terutama pada gril hadapan dan fender yang lebih menonjol.
Di Malaysia, Triton baharu ini sudahpun dilancarkan pada Oktober lalu dengan ditawarkan dalam lima varian, dijual pada harga bermula RM101,980 untuk model asas Triton Single Cab sehingga RM165,980 untuk varian tertinggi Triton Athelete.
GALERI: Mitsubishi Triton Athlete 2025
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.