Adakah anda antara orang yang dapat melihat Perodua eMO-II secara langsung di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024 baru-baru ini? Jika tidak pun tidak mengapa, kerana Perodua ada menyediakan cara lain untuk lebih ramai memerhati kereta konsep mereka yang paling penting dan hebat ini.
Imbas kod QR di atas, ikut arahan yang diberi dan seterusnya anda boleh melihat eMO-II Concept dalam bentuk Augmented Reality (AR). Bukan setakat luaran, anda juga boleh melihat bahagian dalam kereta yang memberi petunjuk kepada EV produksi yang akan dikeluarkan tahun hadapan ini.
Untuk pengetahuan, Perodua bukan sengaja suka-suka mahu memulakan projek ini. Ia adalah bagi memenuhi hasrat kerajaan yang meletakkan tarikh akhir untuk Perodua mengeluarkan sebuah EV. Tidak seperti Proton, Perodua perlu membangunkannya dari kosong kerana rakan kongsi Jepun mereka, Daihatsu tidak mempunyai kereta yang sesuai untuk digunakan sebagai asas.
Projek ini bagaimanapun nampak berjalan baik dan ditunjukkan melalui model konsep yang dipanggil sebagai “Episod 2” ini. Kita boleh menjangkakan penggunaan bateri LFP daripada CATL, jarak gerak 400 km dan harga antara RM50k-RM90k bagi versi produksi nanti.
Perodua percaya, EV mereka nanti akan menjadi yang paling murah dalam pasaran, termasuk pada waktu apabila harga lantai RM100k bagi EV CBU telah dimansuhkan. Syarikat ini juga sedar, tidak mudah untuk membawa rakyat Malaysia bertukar daripada ICE ke EV, dan mereka akan cuba mengatasi masalah seperti tempat mengecas dan lain-lain.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.