Timbalan Menteri Pengangkutan (MoT) Datuk Hasbi Habibollah mengesahkan kerajaan sedang memuktamadkan Rang Undang-Undang Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi mewujudkan tafsiran jelas berhubung isu mat rempit merangkumi kesalahan menunggang motosikal secara melulu, membahayakan atau perlumbaan haram di jalan raya, laporan Harian Metro.
Jelas beliau, pindaan itu bertujuan menjadi bentuk pencegahan kepada pihak yang terbabit dalam aktiviti berkenaan, selain tidak menolak memperkenalkan hukuman lebih berat bagi kesalahan berkaitan aksi berbahaya dan lumba haram. Selain itu, ia juga bertujuan memastikan hukuman yang dikenakan dapat menjadi bentuk pencegahan kepada pelaku.
“Kerajaan sedang mengkaji untuk mengetatkan lagi undang-undang sedia ada dengan memperkenalkan hukuman lebih berat bagi kesalahan berkaitan aksi berbahaya dan lumba haram. Draf pindaan membabitkan Akta 333 ini dibawa ke peringkat Jabatan Peguam Negara.
“Langkah ini diambil bagi memastikan hukuman yang dikenakan dapat menjadi satu bentuk pencegahan kepada pelaku,” katanya semasa pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat bagi menjawab pertanyaan Pang Hok Liong (PH-Labis) mengenai tindakan paling berkesan boleh diambil terhadap kumpulan mat rempit yang sering melakukan aksi berani di lebuh raya yang sentiasa mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
Hasbi berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bekerjasama melaksanakan aktiviti penguatkuasaan bersepadu, membabitkan pelbagai agensi penguatkuasaan dan pihak berkuasa tempatan bagi menangani permasalahan sama. Malahan JPJ dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) PDRM juga sedang meningkatkan pemantauan terhadap kumpulan dan individu terbabit secara aktif dalam gejala mat rempit.
“MoT melalui JPJ juga akan melaksanakan kerjasama berterusan dengan agensi berkaitan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mengekang aktiviti penjualan dan pengubahsuaian motosikal tidak mengikut spesifikasi.
“Mengenai kuasa melupuskan kenderaan disita, JPJ melakukan tindakan penguatkuasaan bagi kesalahan modifikasi secara ekstrem dan rempit atau lumba haram. Pelupusan kenderaan disita atas alasan modifikasi motosikal akan memberi kesedaran kepada pengguna motosikal lain. Ini kerana kebanyakan mat rempit tidak gentar dengan tindakan sita yang dikenakan memandangkan mereka tahu segala barangan disita akan dipulangkan semula,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.