EP Manufacturing Berhad (EPMB) mengumumkan bahawa model pertama yang dipasang dikilangnya yang terletak di Pegoh, Melaka iaitu GWM Haval H6 kini telahpun mencapai angka pengeluaran yang ke-1000 unit. Operasi pemasangan berkenaan telahpun bermula pada September lalu sebelum pelancaran rasmi model tersebut yang dibuat pada bulan seterusnya.
“Hari ini menandakan permulaan era baharu bagi EPMB. Mengimbas kembali cabaran semasa pandemik COVID-19, kami tetap tabah dan kembali membina asas rancangan yang kukuh untuk masa depan. Kini, kami melihatnya menjadi kenyataan. Kami berada di landasan menuju masa depan yang cerah bagi kumpulan ini.
“EPMB adalah syarikat yang sebelum ini dinilai rendah, tetapi arus kini berubah memihak kepada kami. Fasa 1 Kilang Pemasangan Kenderaan kami di Pegoh, Melaka, adalah bukti visi kami. Kerjasama dengan GWM telah mencapai kejayaan besar, dengan pengeluaran kami secara konsisten memenuhi piawaian kualiti ketat GWM,” kata pengerusi eksekutif EPMB, Hamidon Abdullah.
Beliau turut mendedahkan bahawa dalam Fasa 1 yang akan berakhir pada penghujung 2025, kilang berkenaan turut akan memasang model-model GWM yang lain termasuk SUV lebih kecil dari H6 iaitu GWM Jolion pada April 2025, dan juga sebuah MPV “untuk pasaran ASEAN” yang belum diumum namanya. Malah rancangan untuk memasang model-model dari BAIC turut akan berjalan tahun hadapan.
“Justeru, kami bersedia untuk Fasa 2, yang akan meningkatkan kapasiti pengeluaran sebanyak 30,000 kenderaan tambahan setiap tahun. Diikuti dengan Fasa 3 akan memberi tumpuan kepada pembuatan badan kenderaan dan proses pengecatan,” tambah beliau.
Dalam kenyataan sama, EPMB turut menyatakan bahawa pihaknya turut telah memulakan pembuatan komponen-komponen GWM dalam negara menerusi fasilitinya yang terletak di Kulim, Tanjung Malim, Batang Kali, Shah Alam, dan Melaka. Antara komponen-komponen berkenaan termasuk kerusi, rangka depan stereng, sistem suspensi dan brek, modul gandar belakang dengan sistem suspensi dan brek, serta komponen dalaman seperti panel instrumen, konsol tengah, dan trim pintu dalaman.
“Bersama GWM, EPMB juga menyokong pembekal tempatan lain untuk memperkukuh rantaian bekalan, memupuk pembangunan ekosistem automotif di Melaka. Ekosistem ini memberikan kesan yang signifikan, mencipta peluang pekerjaan, meningkatkan industri tempatan, dan merangsang pertumbuhan ekonomi,” kata syarikat itu dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.