Pasangan Naquib Azlan dan Mitchell Cheah dari pasukan Wing Hin Motorsport akhirnya memperolehi kemenangan pertama mereka dalam siri Kejohanan Thailand Super Series untuk kelas Super compact sejak penyertaan sulung mereka dalam perlumbaan tersebut bermula musim ini.
Kemenangan tersebut diperoleh dalam perlumbaan pusingan ke-7 TSS yang berlangsung pada Sabtu di Litar Antarabangsa Chang, Thailand. Tambah manis kejayaan berkenaan dicapai apabila Toyota Yaris Wing Hin Motorsport yang dipandu Naquib berjaya memintas Honda CRZ Mugen Thailand Insane Motorsport dipandu oleh Ayrton Achitaphon pada selekoh terakhir, lap terakhir dan memenangi perlumbaan itu pada jarak hanya satu bampar, selepas Mitchell memulakan perlumbaan yang berlangsung selama sejam tersebut di petak ke-9.
“Inilah yang kami usahakan dan akhirnya menang adalah bukti semua kerja keras yang dilakukan pasukan sepanjang musim. Kemenangan perlumbaan juga amat istimewa memandangkan pasukan bekerja sepanjang malam untuk membaiki kereta yang rosak ketika sesi kelayakan semalam,” kata Mitchell.
“Walaupun ini musim penuh pertama kami bersaing dalam Thailand Super Series, kami kompetitif sepanjang musim ini dan telah beberapa kali menaiki podium tetapi tidak pernah berjaya memenangi perlumbaan. Pada asasnya ini adalah musim pembelajaran buat kami terutamanya dalam siri dengan begitu banyak pasukan yang kompetitif dan lebih berpengalaman. Kemenangan perlumbaan ini dalam Super Compact, terutamanya dalam cara ia dimenangi – di selekoh terakhir – menebus semua kerja keras dan akan meletakkan asas yang kukuh untuk pasukan bergerak ke hadapan,” kata Pengurus Pasukan Wing Hin Motorsports K. C. Chua.
Untuk Naquib, tugasnya bukan hanya memandu dalam kelas Super Compact ini sahaja, malah turut berpasangan dengan seorang lagi pelumba muda negara, Amer Harris memandu Toyota GR Supra Wing Hin Motorsport untuk kelas GT-4. Kedua-dua pemandu tersebut berjaya mencatatkan masa terpantas dalam sesi kelayakan untuk bermula di petak pertama untuk perlumbaan pusingan ke-9 dan 10.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.