Ketika pelancaran model Proton eMas 7 petang tadi, jenama automotif nasional itu turut mengumumkan beberapa pasaran eksport yang telah disahkan turut akan menerima model SUV EV berkenaan.
Menurut Proton, model EV pertamanya ini sah akan dipasarkan Mauritius, Nepal, Singapura serta Trinidad & Tobago. Proton turut mengumumkan keputusan ujian pelanggaran Program Penilaian Kereta Baharu untuk Asia Tenggara (ASEAN NCAP), jadi ada kemungkinan eMas 7 ini juga mungkin akan dibawa ke satu lagi pasaran lazim Proton di ASEAN iaitu Brunei.
Dengan pelancaran kembarnya iaitu Geely EX5 di Thailand baru-baru ini serta dirancang akan dilancarkan di Indonesia tidak lama lagi, kebarangkalian untuk Proton eMas 7 turut berada di dua antara pasaran terbesar di ASEAN itu adalah tipis.
Untuk pasaran Malaysia, eMas 7 ditawarkan dalam dua varian iaitu Prime dijual pada harga RM109,800 dan juga Premium berharga RM123,800. Kedua-duanya berkongsi unit rangkaian kuasa yang sama iaitu motor elektrik tunggal ’12 dalam 1′ yang memacu roda hadapan berkuasa 218 PS dan tork maksima 320 Nm. Konfigurasi tersebut cukup untuk membolehkan eMas 7 memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat dan mencapai kelajuan maksima 175 km/j.
Kedua-duanya juga menerima bateri lithium logam fosfat (LFP) “bilah pendek” Aegis yang dibangunkan oleh Geely sendiri, tetapi varian Prime menerima bateri berkapasiti 49.52 kWj dengan jarak perjalanan 345 km, manakala Premium pula diberikan bateri berkapasiti 60.22 kWj yang memberikan jarak 410 km – kedua-duanya mengikut kitaran ujian WLTP.
GALERI: Proton eMas 7 Premium 2025
GALERI: Proton eMas 7 Prime 2025
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.