Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah mengeluarkan sebanyak 95,298 saman atas kesalahan langgar lampu isyarat dari Januari hingga November 2024 yang direkodkan di seluruh negara. Daripada jumlah itu, sebanyak 39,468 saman melibatkan motosikal, kereta (44,889 saman), lori (3,937 saman), dan lain-lain kenderaan (7,004 saman), kata Pengarah JSPT Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.
Beliau menegaskan, kesalahan melanggar lampu isyarat merah adalah satu pelanggaran undang-undang jalan raya yang serius dan berpotensi menyebabkan kemalangan yang boleh membawa maut.
“Kesalahan ini menyumbang kepada peningkatan kemalangan jalan raya terutamanya di kawasan persimpangan utama. JSPT menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mereka yang melanggar peraturan ini. Pemantauan dan penguatkuasaan lebih ketat akan dijalankan di lokasi-lokasi yang dikenalpasti sering membabitkan kesalahan ini.
“Kamera pengawasan (CCTV/sistem kamera lampu merah) di persimpangan utama akan dipertingkatkan bagi memastikan pelanggaran undang-undang dapat dikesan dan (pesalah trafik) dapat ditangkap dengan segera,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Dalam masa yang sama, pihaknya juga akan sentiasa berkolaborasi dengan agensi kerajaan lain termasuk pihak berkuasa tempatan untuk memastikan kesalahan melanggar lampu isyarat merah diambil tindakan di bawah Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987, penalti kerana mengabaikan arahan dan isyarat lalu lintas iaitu disabitkan dengan denda tidak kurang RM300 atau tidak melebihi RM2,000.
“Pihak JSPT juga menyeru semua pengguna jalan raya sentiasa berada dalam keadaan fokus semasa memandu dan tidak tergesa-gesa melintasi lampu isyarat merah. Keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab bersama dan dengan kerjasama semua, kita mengurangkan kemalangan yang berpunca daripada pelanggaran peraturan lalu lintas terutamanya di persimpangan jalan utama,” tambahnya lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.