Chery Malaysia sedang menganjurkan kempen promosi hujung tahun, dan antara model yang terlibat sudah tentulah SUV Tiggo 7 Pro. Ia ditawarkan dengan rebat sehingga RM4,000 dari senarai harga atas jalannya RM123,800 tanpa insurans.
Rebat untuk Tiggo 7 Pro ini juga sedang berlangsung bersama-sama cabutan bertuah akhir tahun oleh Chery Malaysia, yang dilaksanakan sehingga 31 Disember 2024 dengan hadiah bernilai lebih RM150k untuk dimenangi, menurut syarikat itu. Chery Tiggo 7 Pro turut disertakan dengan waranti tujuh-tahun, 150,000 km dengan liputan perkhidmatan menunda tanpa had untuk perbatuan dan tempoh yang sama, dan lima-tahun servis percuma.
Untuk mengambil bahagian, pelanggan perlu membeli mana-mana kenderaan Chery baharu daripada pengedar Chery yang sah atau roadshow yang dijalankan sehingga 31 Disember tahun ini, dan pastikan butiran tempahan dan pendaftaran kenderaan yang anda beli ini didaftarkan ke dalam sistem Chery oleh wakil pengedar.
Selepas itu, pemenang akan dipilih melalui cabutan secara rawak, dan bakal diumumkan menerusi platform media sosial Chery dalam masa tiga bulan selepas peraduan tamat. Hadiah yang bakal dimenangi termasuk peralatan dapur daripada KitchenAid dan Le Crueset, pembersih vakum daripada Dyson, konsol permainan Nintendo serta baucar membeli-belah.
SUV Tiggo 7 Pro lima-tempat duduk ini dikuasakan oleh enjin petrol 1.6 liter pengecas turbo, empat-silinder yang menghasilkan 197 hp pada tork 290 Nm, disalur ke roda hadapan melalui transmisi automatik klac berkembar tujuh-kelajuan. Pecutan 0-100 km/j dapat dilakukan dalam 8.3 saat, dan kelajuan tertinggi mencecah 205 km/j.
Sistem bantuan pemandu Chery ‘ADAS 2.5’ turut diberikan yang merangkumi brek kecemasan autonomous, kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi Stop & Go, bantuan pemusatan lorong, amaran perlanggaran belakang, pemantauan titik buta dengan pencegahan perlanggaran, amaran trafik lintasan belakang dengan brek automatik dan lampu tinggi automatik. Ia juga diberikan ciri keselamatan standard iaitu kawalan kestabilan dan tujuh beg udara.
Ia juga ditawarkan dengan warna luaran pilihan termasuk Carbon Black, Nasdaq Silver, Phantom Grey dan Khaki White dengan kontras bumbung hitam.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.