Ketika majlis pelancaran Proton eMas 7 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) semalam, CEO Geely Auto Jerry Gan mendedahkan bahawa Proton telah mengeksport sejumlah 200 unit SUV segmen-B X50 dalam versi pemanduan sebelah kiri (LHD) ke Vietnam.
Menurut beliau, penghasilan Proton X50 dalam versi LHD tersebut merupakan langkah pertama bagi menjadikan Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) yang terletak di Tanjung Malim sebagai hab eksport serantau. Walau bagaimanapun tiada perincian lanjut mengenai perkara ini disebut oleh Gan atau eksekutif Proton yang lain berkenaan pengedar jenama itu di Vietnam dan sebagainya.
Sebelum ini Proton memang sudah ada mengeksport model-model untuk pasaran LHD seperti di Eropah, Timur Tengah dan sebagainya. Buat masa sekarang Proton masih mempunyai pasaran LHD yang aktif seperti di Mesir dan Jordan, tetapi hanya Saga yang masih dijual di sana.
Mungkin dengan penghasilan unit-unit awalan X50 LHD ke Vietnam ini akan membuka lembaran eksport baharu buat Proton kerana 70% pasaran automotif global adalah menggunakan kofigurasi pemanduan sebelah kiri. Ketika peringkat awal kerjasama antara Proton dan Geely, jenama automotif nasional itu diharapkan akan menjadi ‘wakil’ Geely pada pasaran-pasaran pemanduan sebelah kanan (RHD).
Namun menerusi model EV baharu Geely Galaxy E5/EX5 yang dibangunkan bersama dengan Proton dan terus hadir dalam versi LHD dan RHD, Geely nampaknya bertapak di pasaran-pasaran RHD penting seperti Thailand, Indonesia dan Australia. Adakah rancangan awal tersebut kini sebenarnya telah berubah?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.