Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia menafikan ada syarat tambahan yang dikenakan khas untuk golongan warga emas yang ingin memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM).
Ia berikutan mesej tular melalui platform media sosial berkenaan syarat tambahan kepada golongan warga emas iaitu mereka perlu menjalani penilaian kompetensi dan kesihatan.
“Untuk makluman, pihak Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mahupun JPJ tidak meletakkan apa-apa syarat tambahan kepada golongan warga emas bagi memperbaharui LMM. Proses pembaharuan LMM bagi golongan warga emas adalah masih tertakluk kepada syarat-syarat dan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (LMM) sedia ada di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Orang ramai diingatkan agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak benar dan meneliti setiap maklumat yang diterima. Jabatan ini sentiasa berusaha dan komited untuk memastikan kesejahteraan orang awam terutamanya para pelanggan JPJ sentiasa terpelihara,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Pada akhir November lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, cadangan supaya warga emas berusia 65 tahun ke atas perlu menjalani penilaian kompetensi dan kesihatan sebelum memperbaharui lesen memandu akan diteliti. Beliau berkata, pihaknya menyambut baik cadangan tersebut, namun ia memerlukan penelitian lanjut sebelum sebarang ketetapan dibuat mengenainya
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.